Khidmat Sokongan Kesihatan Mental Sentiasa Tersedia Untuk Rakyat

KOTA KINABALU: Rakyat yang berdepan dengan masalah mengendalikan tekanan emosi ketika pandemik Covid-19 boleh mendapatkan khidmat Sokongan Psikososial dan Kesihatan Mental (MHPSS) yang disediakan Jabatan Kesihatan Negeri Sabah.

Khidmat MHPSS ini terbuka kepada rakyat di seluruh negeri ini yang ingin mendapatkan khidmat kaunseling semasa wabak Covid-19.

Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan Datuk Seri Panglima Masidi Manjun berkata, nombor talian Pasukan MHPSS merangkumi semua daerah telah pun diwar-warkan melalui Facebook JKNS, Facebook unit promosi kesihatan negeri Sabah, Facebook Hospital Mesra Bukit Padang dan juga melalui Facebook Jabatan Penerangan Malaysia.

Oleh itu, orang ramai boleh mendapatkan nombor tersebut melalui laman media sosial yang disebutkan.

Selain, khidmat kaunseling daripada MHPSS, pertubuhan bukan kerajaan (NGO) Befrienders, MERCY Malaysia dan Kawan Bah juga bekerjasama dengan JKNS menghulurkan bantuan tele-kaunseling.

Badan-badan NGO itu menyediakan careline dimana rakyat boleh berhubung untuk mendapat bantuan sokongan kesihatan mental.

“Disamping itu, JKNS juga bekerjasama dengan beberapa radio stesen di Sabah dari masa ke semasa dimana pakar-pakar psikiatri, pakar kesihatan awam dan pegawai psikologi ditemubual untuk memberi khidmat nasihat dalam memerangai isu-isu mental dan cara-cara pengendalian emosi akibat Covid-19.

“Aktiviti Outreach yang merangkumi aktiviti relaksasi, aktiviti bersenam, aktivti muzik dan melukis dilaksanakan di pusat-pusat kuarantin secara langsung ataupun virtual bagi mengekalkan kesihatan mental klien-klien di pusat-pusat kuarantin,” katanya semasa sidang media perkembangan semasa Covid-19 negeri Sabah, di sini hari ini.