Khaled Perlu Berhenti Berlagak, Cermin Diri Gagal Hormati Tuntutan MA63

TERRENCE

KOTA KINABALU: Pemimipin Parti Warisan (Warisan) mengingatkan Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin supaya cermin diri sendiri sebelum cuba menjadi hero dengan mengingatkan pihak lain agar tidak semarakkan api pemisah.

Perbuatan Nordin menyelar kenyataan penganalisis politik, Wong Chin Huat yang dikatakan cuba membangkitkan sentimen api pemisah dan menyatakan rakyat Sabah dan Sarawak ingin keluar dari Malaysia tidak selari dengan tindakan Barisan Nasional (BN) yang enggan menunaikan tuntutan Perjanjian Malaysia 1963 (MA63).

Naib Presiden Warisan, Terrence Siambun berkata, pemimpin UMNO itu patut cermin diri dan memahami rasa tidak puas hati rakyat Sabah terutama suku kaum Kadazan Dusun mengenai politik Sabah yang masih dikuasai parti Malaya.

“Gabungan parti yang didominasi oleh Malaya sentiasa bersyak wasangka dengan pemimpin Sabah biarpun mereka dalam kalangan gabungan parti tersebut.

“Rasa tidak percaya terhadap pemimpin Sabah ini sudah bermula sejak Ogos 1965 semasa Tun Fuad Stephens meletak jawatan sebagai Menteri Hal Ehwal Sabah dan Pertahanan Awam susulan tindakan Singapura keluar dari Malaysia.

“Malah, pada 1994 UMNO bertindak menjatuhkan kerajaan Parti Bersatu Sabah (PBS) dan baru-baru ini Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) cuba menjatuhkan kerajaan Warisan Plus pada 2020.

“Biarpun PBS dan Warisan bukan ancaman kepada Barisan Nasional (BN) dan Perikatan Nasional (PN) namun, kerajaan mereka ditumbangkan,” katanya dalam satu kenyataan kelmarin.

Setiap kali menjelang pilihan raya di Sabah, rakyat akan melihat slogan politik seperti ‘jaminan keselamatan dan pembangunan ekonomi untuk Sabah’ digunakan untuk menarik undi rakyat negeri ini.

Slogan itu mungkin boleh digunakan di negeri lain seperti Kelantan atau Perak namun, bagaimana mereka boleh janji sebegitu kepada rakyat Sabah jika tuntutan MA63 juga gagal ditunaikan.

Terrence berkata, tiada dalam peruntukan MA63 yang menyatakan tanggungjawab keselamatan dan pembangunan memerlukan Sabah dipimpin oleh parti yang sealiran atau berada dalam gabungan parti yang membentuk kerajaan Persekutuan.

Malah, tidak perlu untuk pemimpin politik Sabah dan Persekutuan sealiran seperti yang dikatakan Presiden Bersatu, Tan Sri Muhyiddin Yassin semasa Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah 2020 kerana dalam MA63 sudah jelas dinyatakan hak-hak Sabah yang harus ditunaikan.

Seharusnya MA63 boleh melindungi negeri ini daripada sebarang manipulasi dan exploitasi politik.

Justeru itu, tidak kira Sabah ditadbir oleh pembangkang mahupun tidak, kerajaan Persekutuan perlu menunaikan tuntutan yang telah dipersetujui dalam MA63.

Menurut beliau, banyak perkara yang tidak adil berlaku terhadap Sabah disebabkan ketidakpercayaan pemimpin politik Malaya dalam menghormati MA63 serta agihan peruntukan yang tidak adil dalam belanjawan Persekutuan setiap tahun.

Malah, pemberian kewarganegaraan kepada pendatang asing tanpa izin (PATI) mengakibatkan rakyat Sabah terutama komuniti KDM kecewa.

Khaled seharusnya tahu tentang perkara sedemikian disebabkan oleh parti Malaya dan kenyataan Wong Chin Huat dalam laman Facebook tidak akan memberi impak besar untuk bangkitkan sentimen api pemisah.

Terrence berkata, komuniti KDM rasa kecewa apabila beberapa pemimpin Sabah yang kononnya memperjuangkan hak Sabah kini, tidak lagi bersuara setelah memegang jawatan penting dalam kerajaan Persekutuan dan negeri.