Khabar Gembira Untuk Paroki St Theresa; Shafie Luluskan RM1 Juta

250

Oleh RODELIO JUNJUN TAUCAN
TAMBUNAN: Hanya beberapa jam selepas mendengar aduan pemimpin gereja St Theresa di sini tentang keperluan kewangan untuk membaik pulih bangunan gereja yang rosak, masyarakat Kristian di paroki Tambunan kini mendapat khabar gembira.

Berita baik tersebut diumumkan sendiri Ketua Menteri, Datuk Seri Mohd. Shafie Apdal yang meluluskan peruntukan RM1 juta untuk dibelanjakan bagi membaiki gereja tersebut.

Menurut beliau, bantuan berkenaan adalah peruntukan awal dan selepas ini kerajaan negeri berjanji akan terus menyalurkan bantuan kepada mana-mana rumah ibadat yang memerlukannya.

“Orang Sabah ada Islam ada Kristian, saya masuk gereja bukan sembahyang tidak ada salahnya kerana kita masuk tengok bangunan, tengok apa keperluan dia.

“Untuk makluman, keperluan ini saya maklumkan kita akan lakukan berperingkat bila saya berucap di sana, jadi saya luluskan RM1 juta untuk gereja bagi membolehkan gereja dibaiki dan umat Kristian menunaikan ibadah dengan baik,” katanya.

Beliau membuat pengumuman itu dalam Majlis Ramah Mesra Bersama Rakyat di Pisompuruan Square, Tambunan yang disambut dengan tepukan gemuruh kira-kira 4,000 rakyat yang hadir hari ini.

Terdahulu pagi ini, Mohd. Shafie bersama pimpinan negeri termasuk, Menteri Pembangunan Infrastruktur, Datuk Peter Anthony hadir di gereja tersebut berjumpa dengan pemimpin masyarakat Kristian di situ.

Dalam pertemuan berkenaan, Paderi Rudolp Joannes menyampaikan kepada Ketua Menteri tentang kerosakan di bahagian atap dan bumbung gereja berkenaan yang telah dibina sejak 1960.

Sementara itu, selain peruntukan untuk gereja, Mohd. Shafie turut meluluskan bantuan dana RM40,000 iaitu masing-masing RM20,000 kepada Rumah Anak-Anak Yatim Tambunan dan The Needy Children’s Home Of Toboh bagi membantu kehidupan penghuninya.

“Saya luluskan RM20,000 masing-masing untuk mereka yang diharap dapat menampung keperluan kehidupan mereka di situ.

“Saya melihat ada keperluan untuk ini, saya orang Islam tetapi saya juga Ketua Menteri Sabah bukan hanya untuk orang Islam tetapi untuk semua orang Sabah,” katanya.