Kewujudan Koridor Hidupan Liar, Pemasangan Pagar Bantu Kurangkan Konflik Manusia-Gajah

73

Oleh SURAIDAH ROSLAN
KOTA KINABALU: Usaha Kerajaan Sabah menubuhkan Koridor Hidupan Liar dilihat berjaya mengurangkan konflik manusia-gajah serta kerugian yang ditanggung akibat kerosakan di kawasan perladangan.

Pengarah Konservasi World Wildlife Fund (WWF) Malaysia Henry Chan berkata, sejak beberapa inisaitif diambil termasuk menyediakan Koridor Hidupan Liar dan pemasangan pagar di sekitar anak pokok kelapa sawit, konflik membabitkan manusia dan gajah semakin berkurang.

Katanya, WWF mengalukan-alukan usaha Sabah menyediakan ribuan hektar untuk mewujudkan koridor hidupan liar dari Ulu Kalumpang hingga Hutan Simpan Ulu Segama yang membenarkan gajah bergerak secara bebas.

“Dari segi kos kerosakan, dahulu Sabah mengalami kerugian hampir 1/2 juta ringgit (RM500,000) berikutan konflik manusia-gajah.

“Namun selepas semua usaha ini termasuk koridor dan pemasangan pagar dilakukan dengan betul, kerosakan yang direkodkan menurun kepada RM200,000 setahun. Sejak tiga tahun lalu, ia menurun kepada RM2,000.

“Ini antara langkah penyelesaian yang kami sedang lihat untuk bekerjasama dengan kerajaan dan pengusaha ladang,” katanya ketika ditemui pemberita selepas Kunjungan Hormat WWF Malaysia kepada Ketua Menteri Datuk Seri Panglima Haji Mohd Shafie Apdal, di Pusat Pentadbiran Negeri Sabah, di sini pada Khamis.

Henry berkata, pemasangan pagar pada anak pokok kepala sawit dapat mengelakkan pokok itu dimakan oleh gajah. Maka, WWF menyokong usaha memasang pagar itu secara betul.

Namun, dalam masa sama, pengusaha ladang harus membenarkan gajah bergerak secara bebas di kawasan ladang mereka.

Menurutnya, WWF juga sedang menjalankan kajian mengenai paten pergerakan gajah dengan memasang kolar pada kepala gajah. Setakat ini, sebanyak 13 gajah telah dipasang dengan kolar bagi membolehkan pergerakan gajah dijejaki melalui satelit.

“Pemasangan kolar ini dijalankan dengankerjasama pihak berkuasa seperti Taman-Taman Sabah, Jabatan Hidupan Liar serta Jabatan Hutan Sabah.

“Dengan kolar itu, kita dapat mengesan pergerakan gajah dan setiap empat jam kita pantau pergerakan hidupan liar itu.

“Kita kongsikan paten pergerakan itu dengan pengusaha ladang agar pekerja mereka dapat mengelak bertembung dengan gajah,” ujarnya.

Henry berkata, konflik manusia-gajah berlaku apabila pengusaha ladang memasang pagar elektrik yang menghadkan pergerakan gajah.

Oleh itu, pengusaha ladang dan pekebun kecil perlu sama-sama dilibatkan dalam projek konservasi hidupan liar.

Katanya, WWF akan terus meningkatkan kesedaran masyarakat terutama penduduk kampung agar bekerjasama dengan kerajaan dalam pemuliharaan hidupan liar.