‘Keutamaan Serap Penjawat Awam Kontrak Diberikan’

1654

Oleh SURAIDAH ROSLAN
KOTA KINABALU: Selaras dengan langkah penjimatan dalam sektor perkhidmatan awam, Kerajaan Sabah hanya mengisi 21,000 daripada kira-kira 25,000 jawatan yang ditawarkan dalam perkhidmatan awam pada ketika ini.

Ketua Menteri Datuk Seri Panglima Haji Mohd Shafie Apdal berkata, masih ada hampir 4,000 kekosongan lagi yang masih belum diisi dan kekosongan itu hanya akan diisi sekiranya ada keperluan.

“Jika tiada keperluan, rombakan dalam perkhidmatan awam boleh dilakukan sekiranya ada jabatan atau unit yang mempunyai lebihan tenaga kerja dan memindahkan mereka ke jabatan yang memerlukan tambahan kakitangan.

“Usaha sebegitu perlu kerana pada ketika ini kerajaan membelanjakan hampir RM1 bilion untuk perbelanjaan emolumen penjawat awam dan perbelanjaan itu antara yang tertinggi di negara ini.

Jimmy Wong, duduk, di sidang DUN Khamis, bersama Kenny Chua dan Jannie Lasimbang.

“Maka, pengurusan keperluan tenaga kerja ini perlu dilakukan dengan sebaiknya tanpa perlu meningkatkan atau mengambil lebih banyak penjawat awam kerana pada akhirnya ia akan meningkatkan perbelanjaan emolumen dan menjejaskan keadaan ekonomi,” katanya ketika menjawab soalan tambahan dikemukakan Datuk Isnin Aliasnih (BERSATU-Klias) mengenai langkah kerajaan dalam melakukan penjimatan sektor awam ketika berdepan keadaan ekonomi semasa.

Shafie, yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Senallang berkata, dalam keadaan ekonomi yang mencabar, penggunaan tenaga manusia perlu dikurangkan dan diseimbangkan dengan penggunaan teknologi moden.

Disamping itu, kos operasi semasa juga perlu dikurangkan seperti melalui langkah berjimat dalam penggunaan pengangkutan yang disediakan jabatan.

“Misalnya jika jabatan itu mempunyai lima buah kenderaan, mungkin pengawai hanya perlu menggunakan dua kereta sahaja bagi mengurangkan kos operasi seperti perbelanjaan minyak, pemandu dan bayaran kerja lebih masa.

Jamawi Jaffar, kiri, bersama Abidin Madingkir, tengah dan Masidi Manjun, Karanaan.

“Sekiranya keadaan sampai jadi begitu, ada langkah-langkah yang kita akan lakukan dalam mengurangkan perbelanjaan, gaji dan elaun kakitangan,” jelasnya.

Melalui Inisiatif Kawalan Saiz Perkhidmatan Awam, sebanyak 6.48 peratus penurunan pengisian jawatan dalam pelbagai gred jawatan telah dilakukan dalam tempoh lima tahun ini (2015-2019).

Pengisian jawatan kosong yang dibenarkan hanya melibatkan jawatan kritikal serta melaksana kaedah trade off jawatan yang tidak lagi relevan dengan mewujudkan jawatan yang lebih kritikal dan strategik terutama dalam kumpulan pengurusan dan profesional.

Beliau juga memberi jaminan walau berlaku pengurangan dalam kapasiti anggota perkhidmatan awam namun, ia tidak menjejaskan perkhidmatan dan sistem penyampaian mereka.

Mengenai persoalan tentang penjawat awam secara kontrak yang tidak diserapkan sebagai pekerja tetap walau sudah bertahun-tahun bekerja, Shafie berkata, dasar kerajaan masa kini akan memberi keutamaan bagi menyerap penjawat awam yang telah lama berkhidmat berbanding mengambil kakitangan baharu.

“Sekiranya ada kekosongan jawatan, kita akan memberi keutamaan untuk menawarkan jawatan itu kepada kakitangan kontrak kerana kita yakin pengalaman mereka diperlukan terutama di jabatan yang melibatkan teknikal,” jelasnya.

Beliau berkata, kerajaan akan berusaha meningkatkan kecekapan dalam perkhidmatan awam sedia ada.

“Kita juga berharap dasar baru untuk menyerapkan pegawai kontrak sekiranya ada kekosongan jawatan untuk diisi agar kesinambungan dari segi pengalaman mereka dapat diteruskan dan ditingkatkan,” katanya.