Ketua Wanita UMNO Tuaran Sertai Warisan

Oleh SURAIDAH ROSLAN
TUARAN: Kemasukan beberapa penyokong tegar UMNO termasuk Ketua Wanita UMNO ke dalam Parti Warisan Sabah (Warisan) dalam Majlis Bersama Rakyat Sulaman dan Pantai Dalit memberi petanda kedudukan Warisan semakin bertambah kukuh di kawasan tersebut.

Presiden Warisan Datuk Seri Panglima Mohd Shafie Apdal berkata, kemasukan ini merupakan salah satu petanda bahawa perubahan akan berlaku di Sulaman.

“Saya melihat beberapa orang saya kenal, mereka ni penyokong tegar dalam UMNO dulu. Saya kenal mereka sebab saya bekas Naib Presiden UMNO.

“Ada antara mereka ketua markas (UMNO) semasa pilihan raya lalu dan ada yang penyokong serta ketua wanita. Hari ini kita nampak mereka sudah beralih untuk memberi sokongan kepada Parti Warisan dan juga UPKO,” katanya ketika mengulas kemasukan 10 cawangan UMNO ke dalam Warisan, di sini semalam.

Bagaimanapun, keadaan itu bukan jaminan untuk calon dan jentera Warisan berpuas hati dan tidak bekerja keras.

Katanya, perjuangan belum sampai ke penghujungnya kerana 26 September ini barulah tarikh mengundi jadi, Warisan masih perlu bekerja keras sehingga hari terakhir.

Petang semalam, ahli Parti Gagasan Rakyat Sabah (Gagasan) yang juga mantan Ketua Pemuda Kota Belud turut menyerahkan borang keahlian menyertai Warisan di DUN Tempasuk.