Ketua Pengarah: Imigresen Bakal Ambil Alih Seliaan Semua PTS Di Sabah

MUSTAFAR ALI

KOTA KINABALU: Jabatan Imigresen dijangka mengambil alih penyeliaan semua pusat tahanan sementara (PTS) di Sabah daripada Majlis Keselamatan Negara (MKN), kata Ketua Pengarah Imigresen Mustafar Ali hari Selasa.

Katanya, kerajaan pusat dan negeri telah bersetuju dengan perkara itu secara prinsip ketika Mesyuarat Lembaga Penasihat Zon Selamat Timur Sabah (ESSZone), yang dipengerusikan bersama Timbalan Perdana Menteri Dr Ahmad Zahid Hamidi dan Ketua Menteri Sabah Musa Aman, di sini pada 17 April lalu.

“Dalam beberapa operasi terhadap pendatang asing tanpa izin (PATI) yang kita adakan di Sabah, ia sentiasa dijalankan secara bersepadu dengan agensi berkaitan seperti MKN, polis, pihak berkuasa tempatan dan juga Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).

“Apabila kita menggembleng usaha (operasi bersepadu) ini, ia merupakan tindakan bersepadu yang ditadbirkan oleh Akta Imigresen 1959/63, baik penangkapan kerana salah guna pas lawatan atau tiada dokumen perjalanan yang sah, mahupun pengusiran (PATI ke negara asal),” katanya.

Lawatan Mustafar Ali, meninjau dengan lebih dekat pusat tahanan sementara di Telipok pada Disember 2016.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas merasmikan Anugerah Perkhidmatan Cemerlang 2016 Jabatan Imigresen Sabah dan Labuan di sini. Justeru, Mustafar berkata perkara berkaitan Akta Imigresen, termasuk PTS, sesuai diselia oleh Jabatan Imigresen.

Bagi melaksanakan peralihan penyeliaan PTS itu, beliau berkata ia akan melibatkan jumlah pegawai dan anggota yang ramai iaitu kira-kira 500 kakitangan bagi menguruskan kesemua empat PTS di negeri ini iaitu di Menggatal, Papar, Tawau dan Sandakan.

Beliau berkata, pihaknya sedang berbincang dengan Suruhanjaya Perkhidmatan Awam (SPA) bagi menentukan peralihan kakitangan MKN di PTS berkenaan ke Jabatan Imigresen.

Mengenai operasi terhadap PATI, beliau berkata pelaksanaannya akan terus dibuat secara bersepadu.

Terdahulu, Pengarah Imigresen Negeri Musa Sulaiman berkata sebanyak 2,288 operasi dijalankan sepanjang tahun lepas dan lebih 10,000 PATI ditahan.

Menurutnya, faktor utama kehadiran PATI di negeri ini ialah melalui penyeludupan dan bagi menangani masalah itu, kerjasama agensi berkaitan dalam operasi secara bersepadu diperlukan.