Ketua UMNO Putatan, Jangan Seperti Budak Sekolah – Wira Warisan

PUTATAN: Wira Warisan Putatan mengingatkan Ketua UMNO Putatan, Jeffrey Nor Mohamed agar jangan memperlekehkan suara rakyat yang mahu melihat perubahan dalam pentadbiran daerah ini.

“Bukan rahsia bahawa Jeffrey Nor sedang melobi untuk menjadi calon UMNO bertanding pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15) bagi kerusi Parlimen Putatan.

“Namun, beliau langsung tidak menunjukkan sifat kepimpinan yang baik untuk menjadi pilihan rakyat Putatan apabila mengeluarkan kenyataan seperti budak sekolah dalam isu pembinaan Ibu Pejabat Polis (IPD) Putatan dan Pejabat Pendidikan Daerah (PPD) Putatan,” kata Ahli Jawatankuasa (AJK) Wira Parti Warisan (Warisan) Bahagian Putatan, Bradley Jipius.

Menurut beliau, kenyataan media Jeffrey yang membidas gesaan Ketua Biro Masyarakat KDMR Warisan Putatan, Mathew Yong berkenaan isu keluhan dari rakyat adalah petunjuk jelas bahawa Ketua UMNO Putatan tersebut belum layak untuk membawa suara rakyat ke Parlimen.

Sebagai seorang pemimpin, Jeffrey sepatutnya lebih matang dalam menilai isu rakyat yang dibawakan oleh Warisan Putatan tanpa perlu bersifat negatif dengan melemparkan pelbagai tuduhan bahawa kenyataan media berkenaan isu tersebut untuk mengejar populariti dan meraih undi sedangkan Mathew tidak mengaitkan mana-mana parti politik seperti mana yang Jeffrey lakukan.

Bradley membidas kenyataan Jeffrey itu seakan tidak mahu rakyat Putatan tahu bahawa projek pembinaan Balai Bomba Putatan adalah hasil daripada usaha gigih MP Putatan daripada PKR, Awang Hussaini Shaari melalui peruntukan kerajaan PH.

“Awang Hussaini yang merealisasikan Balai Bomba Putatan walaupun pembinaannya sudah dipohon oleh kerajaan Barisan Nasional sejak 2014 lagi.

Untuk pengetahuan Jeffrey, jika Balai Bomba ini boleh didirikan di tapak tanah milik persendirian yang dibeli oleh kerajaan, kenapa alasan ketiadaan tanah di daerah Putatan dijadikan alasan IPD Putatan tidak boleh dibina?” soal Bradley.

Kerajaan seharusnya menghargai sumbangan Anggota Polis yang menjaga keselamatan warga Putatan dengan menaik taraf Balai Polis Putatan yang ada sekarang ini.

Memang tidak dinafikan, Pejabat Daerah Putatan tidak mempunyai tanah yang besar dan banyak di daerah ini.

Namun, persoalan ini harus ditanya oleh Jeffrey kepada pentadbiran UMNO yang lepas, ke mana perginya semua tanah-tanah kerajaan di Putatan ini.

Seperkara lagi, kalau BN sendiri, selama 12 tahun menerajui Pejabat Daerah Putatan sebagai Daerah Penuh, gagal merealisasikan PPD Putatan, kenapa Jeffrey persoalkan pulak kenapa kerajaan Warisan tidak boleh berbuat demikian.

Jeffrey, sepatutnya mengambil kesempatan ini untuk meneruskan usaha BN yang lepas agar PPD Putatan ini dapat diadakan di daerah ini bukan memberikan alasan dan cuba mengalih kesalahan kepada pentadbiran kerajaan Warisan Plus.

Jeffrey telah sekali lagi membuktikan bahawa beliau bukan seorang pemimpin yang matang dalam berpolitik apabila menuduh Mathew mempolitikkan isu nama Sekolah Kebangsaan Pendidikan Khas (SKPK) Tuaran yang terletak di Kampung Tombovo, Putatan.

Sebagai warga Putatan yang menetap di Kampung Meruntum, beliau patut menyokong gesaan Mathew itu untuk menukar nama sekolah tersebut daripada Tuaran ke Putatan bukan memperlekehkan keluhan rakyat terutama penduduk setempat yang disuarakan oleh Warisan.

Untuk rekod, SKPK Tuaran ini telah mula dibina sejak 2013 ditapak sekarang iaitu zaman pemerintahan BN dan Wakil Rakyat Petagas pada waktu itu adalah wakil daripada UMNO.

“Nasihat saya kepada Jeffrey, jangan menumpang isu yang pihak lawan bawakan demi kesinambungan karier politik beliau kerana ketara beliau ketandusan idea.

“Mengangkat isu rakyat secara positif lebih afdal daripada menggunakan politik lapuk menyerang pihak lawan yang mengetengahkan isu rakyat,” jelas pemimpin muda Warisan itu.