Ketua Menteri Umum Bonus Raya RM500 Untuk Penjawat Awam Sabah

659

Oleh SURAIDAH ROSLAN
KOTA KINABALU: Kerajaan Sabah mengumumkan bonus berjumlah RM500 kepada penjawat awam di semua peringkat negeri Sabah sempena Hari Raya Aidilfitri ini.

Ketua Menteri Datuk Seri Panglima Haji Mohd Shafie Apdal berkata, bonus berkenaan akan diberikan kepada seramai 21,021 orang penjawat awam negeri termasuk kakitangan Pihak Berkuasa Tempatan dan Badan Berkanun sebelum Hari Raya Aidilfitri ini.

Beliau, yang juga Menteri Kewangan berkata, pembayaran bonus itu melibatkan jumlah keseluruhan bernilai kira-kira RM10.5 juta.

“Kerajaan meluluskan bonus ini sempena Hari Raya Aidilfitri itu setelah mengambil kira rintangan yang dihadapi penjawat awam pada masa kini.

“Walaupun keadaan kewangan Sabah tidak begitu sihat namun, saya ingin mengumumkan bonus kepada anggota perkhidmatan awam di semua peringkat termasuk mereka yang berskala tinggi.

“Biarpun duit kerajaan tidak banyak tapi saya akan berusaha mencari duit untuk memastikan anggota perkhidmatan awam dapat meraikan perayaan ini dengan sebaiknya,” katanya ketika ditemui selepas Majlis Penyerahan Kuih-Muih Hari Raya Aidilfitri, di Menara Tun Rafae, di sini pada Selasa.

Mohd Shafie juga mengingatkan penjawat awam supaya memanfaatkan bonus itu sebaik mungkin dan menggunakannya untuk perbelanjaan perayaan.

Beliau mengingatkan penjawat awam supaya tidak menggunakan bonus itu untuk bermain slot mesin yang sudah diharamkan penggunaannya.

Menurutnya, walaupun bonus itu kecil tetapi gunakanlah duit itu sebaiknya untuk keperluan anak-anak.

Mohd Shafie berkata, mewakili Kerajaan juga melahirkan penghargaan terhadap penjawat awam yang sentiasa memberi sokongan terhadap pemerintahan kerajaan dibawah pimpinan Parti Warisan Sabah (Warisan).

Dalam majlis itu, sebanyak sembilan pasukan dan agensi keselamatan menerima sumbangan kuih-muih Hari Raya Aidilfitri berkenaan.

Ia termasuk Polis Diraja Malaysia (PDRM), Angkatan Tentera Darat Malaysia (ATM), Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM), Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM), Angkatan Petugas 450, Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia), Jabatan Penjara Malaysia, Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) dan Kawasan Keselamatan Khas Pantai Timur Sabah (ESSCOM).

Kuih-muih itu disumbangkan oleh 40 badan dan agensi kerajaan serta Pertubuhan Bukan Kerajaan (NGO) termasuk Persatuan Isteri Wakil-wakil rakyat Dewan Undangan Negeri & Ahli Parlimen Sabah (PERWISA).