KM Tidak Pernah Lulus Lesen Sabung Ayam Seperti Ditularkan

Gambar sebenar semasa Majlis Perasmian Bangunan Perpustakaan Negeri Sabah di Tanjung Aru pada 25 Julai lalu.

KOTA KINABALU: Ketua Menteri Sabah tidak pernah meluluskan mana-mana lesen perjudian mahupun lesen sabung ayam seperti yang ditularkan menerusi satu gambar yang telah diedit baru-baru ini.

Setiausaha Politik kepada Menteri Kewangan yang juga Ketua Menteri Jo-Anna Sue Henley Rampas dalam satu kenyataan di sini pada Isnin menepis sekeras-kerasnya gambar yang ditularkan pihak tidak bertanggungjawab yang menyatakan Ketua Menteri telah meluluskan lesen sabung ayam di Sabah.

Gambar yang telah diedit dan ditularkan pihak tidak bertanggungjawab yang menyatakan Ketua Menteri telah meluluskan lesen sabung ayam di Sabah.

Untuk makluman, gambar itu telah diedit dengan meletakkan logo Perpustakaan Negeri Sabah, Jabatan Imigresen, Kementerian Dalam Negeri, Parti Warisan Sabah dan Jabatan Pendaftaran Negara.

“Jika dilihat gambar sebenar, ia adalah gambar yang diambil semasa sidang media Ketua Menteri Sabah bersama-sama dengan Menteri Pendidikan dan Inovasi Sabah, Pembantu Menteri Pendidikan dan Inovasi Sabah dan Pengarah Perpustakaan Negeri Sabah semasa Majlis Perasmian Bangunan Perpustakaan Negeri Sabah Cawangan Tanjung Aru pada 25 Julai lalu,” katanya.

Oleh itu, Jo-Anna menasihatkan orang ramai agar tidak mempercayai serta tularkan perkara yang tidak pasti kesahihannya kerana itu hanya akan mengeruhkan keadaan dan mencemarkan reputasi Pentadbiran Kerajaan Negeri Sabah khususnya dan Malaysia amnya.