Ketua Menteri Shafie Nafi Keluarkan MyKad Untuk Mangsa Kebakaran

10575
Shafie Apda berucap di Dewan Masyarakat Semporna pada Khamis sempena dengan Sehari Dengan Ketua Menteri. Lebih 1,500 hadir pada acara itu.

Oleh SURAIDAH ROSLAN
SEMPORNA: Ketua Menteri Datuk Seri Panglima Mohd Shafie Apdal menafikan khabar angin yang menggaitkan insiden kebakaran dengan langkah memberi kad pengenalan (MyKad) kepada Pendatang Tanpa Izin (PTI) di Sabah.

Beliau berkata tohmahan sebegitu tidak berasas kerana kebakaran yang berlaku bukan sesuatu yang dirancang.

“Bukan kita yang lakukan pembakaran. Saya sendiri tidak mahu kebakaran berlaku. Saya susah hati bila rumah mereka terbakar kerana mereka akan minta rumah dari saya.

“Jika secara kebetulan dalam kebakaran itu IC mereka terbakar, kemungkinan ada pula PTI yang terlibat, kita bukan sewenangnya boleh bagi mereka IC. Kita kena ikut undang-undang. Kita tidak bagi IC kepada PTI biarpun rumah mereka terbakar,” katanya ketika ditanya tentang khabar angin yang menyatakan kebakaran akan membawa kepada pemberian IC.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita selepas Program Sehari bersama Ketua Menteri, di Dewan Masyarakat Semporna, di sini pada Khamis.

Shafie, yang juga Presiden Parti Warisan Sabah berkata, bantuan dalam pemberian IC hanya kepada rakyat tempatan yang masih belum mempunyai dokumen.

“Misalnya jika salah seorang dari suami atau isteri warganegara Malaysia atau ada suami warga asing yang tinggalkan isteri warga tempatan bersama anak-anak yang tiada dokumen akan dibantu.

“Kita akan mengajukan permasalahan ini kepada Jabatan Pendaftaran. Kita berikan mengikut proses undang-undang, bukan kita terus keluarkan IC. Itu adalah dakwaan pembangkang yang tidak bertanggungjawab,” jelasnya.

Mengulas lanjut mengenai program itu, Shafie berkata, program itu diadakan bagi mendengar rungutan dan aduan rakyat diperingkat akar umbi.

Katanya, kesukaran rakyat luar bandar untuk mendapat akses kepada jabatan dan agensi kerajaan menyebabkan Kerajaan Sabah baharu mengambil pendekatan membawa jabatan serta agensi kerajaan turun ke padang.

Dalam program hari ini, hampir 90 peratus aduan yang dikemukakan adalah berkaitan dengan tanah.

Katanya, tanah antara masalah yang paling banyak dihadapi rakyat sama ada ia melibatkan pertindihan tuntutan mahupun mewarisi tanah dari bapa mereka.

Menurutnya program itu juga akan diadakan di daerah lain bagi membolehkan rakyat luar bandar mengemukakan permasalahan mereka kepada pemimpin secara langsung.

Kemudian berkenaan masalah sampah di Semporna, Shafie berkata, selain menyediakan kemudahan tempat pembuangan sampah, didikan juga harus diberi kepada masyarakat supaya hentikan tabiat membuang sampah.

“Tiada guna kita sediakan kemudahan jika mereka masih buang sampah. Oleh itu, kita perlu mendidik dan membimbing mereka disamping menyediakan tong sampah,”jelasnya.

Menurutnya, mereka sudah mengenalpasti dua tempat pembuangan sampah.

Dalam masa yang sama Jawatankuasa Kemajuan & Keselamatan Kampung (JKKK) juga perlu menasihatkan penduduk kampung supaya jangan buang sampah merata tempat.

“Kita kena bimbing mereka secara baik sebab ini pusat pelancongan. Bila banyak sampah, ia akan meninggalkan imej buruk kepada kita. Kita perlu kerjasama semua pihak sebab kerajaan dan agensi dibawahnya tidak mampu menyelesaikan masalah ini sendiri,” katanya.