Ketua Menteri Seru Ibu Bapa Rancang Kewangan Pendidikan

Ewon (tengah) menerima replika cek RM100,000 daripada Wan Saiful untuk sumbangan simpanan akaun SSPN-i kepada 1,000 anak-anak asnaf melibatkan 25 kawasan parlimen seluruh Sabah.

KOTA KINABALU: Ketua Menteri Sabah Datuk Seri Panglima Mohd Shafie Apdal menyeru ibu bapa supaya merancang kewangan pendidikan untuk anak-anak termasuk memulakan tabungan dalam Skim Simpanan Pendidikan Nasional (SSPN) bagi mengurangkan bebanan kewangan pendidikan pada masa akan datang.

Beliau berkata, ini kerana pendidikan merupakan aset penting dalam pelaksanaan pembangunan negara dan setiap ibu bapa mempunyai impian melihat anak-anak mereka berjaya ke menara gading.

“Kepentingan dan keutamaan bidang pendidikan dapat dilihat dengan jelas apabila kerajaan menyediakan kemudahan biasiswa mahu pun pinjaman bagi meringan dan membantu pelajar yang layak ke menara gading.

“Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) adalah antara agensi yang ditubuhkan kerajaan sebagai pemberi pinjaman utama bagi tujuan pendidikan tinggi. PTPTN kini bukan sahaja dikenali sebagai sebuah institusi pemberi pinjaman untuk pendidikan tinggi, malah turut dikenali sebagai sebuah institusi penabungan pendidikan,” katanya.

Ewon (tengah), Wan Saiful (dua dari kiri) dan Jenifer (dua dari kanan) ketika melancarkan Program Jelajah SSPN 2019 Peringkat Negeri Sabah.

Beliau berkata demikian dalam teks ucapan sempena perasmian Program Jelajah SSPN 2019 Peringkat Negeri Sabah, di Oceanus Waterfront Mall, di sini, hari ini.

Teks ucapannya disampaikan oleh Menteri Pembangunan Luar Bandar Sabah Datuk Ewon Benedick.

Shafie berkata, PTPTN juga telah mewujudkan Skim Simpanan Pendidikan Nasional (SSPN) pada 2004 dan sejak dilancarkan sehingga 31 Julai lalu, sebanyak 4.2 juta akaun SSPN dibuka dengan deposit berjumlah RM5.0 bilion di seluruh negara.

“Manakala bagi Sabah , sehingga Julai tahun ini sebanyak 211,354 akaun SSPN telah dibuka dengan deposit berjumlah RM133.5 juta.

“Syabas atas kesedaran penabungan pendidikan ini tetapi pada masa yang sama saya merasakan ia merupakan satu angka yang kecil berbanding bilangan rakyat di negeri ini,” katanya.

Ewon menyampaikan sumbangan daripada PTPTN kepada salah seorang pelajar sekolah.

Sehubungan itu beliau menyeru agar ibu bapa yang belum mempunyai perancangan kewangan pendidikan supaya memulakan langkah penabungan.

Beliau berkata, Program Jelajah SSPN 2019, bertujuan membudayakan penabungan bagi tujuan pendidikan tinggi melalui SSPN, di samping membuat hebahan mengenai kelebihan produk itu.

“Program ini yang dilaksanakan mulai Ogos sehingga September tahun ini melibatkan 12 lokasi di semenanjung Malaysia, 11 lokasi di Sabah dan 10 lokasi di Sarawak menunjukkan bahawa PTPTN sememangnya inginkan seluruh rakyat Malaysia mengetahui mengenai SSPN.

“Penganjuran program berbentuk mini karnival ini sudah pastinya menarik penyertaan masyarakat dan seterusnya menyertai SSPN. Diharapkan program ini dapat menarik lebih ramai rakyat Malaysia khususnya ibu bapa memulakan tabungan dalam SSPN untuk anak-anak demi jaminan masa depan pendidikan mereka,” katanya.

Shafie berkata, melalui program ini, PTPTN memberikan sumbangan simpanan akaun SSPN-i kepada 1,000 anak-anak asnaf melibatkan 25 kawasan parlimen seluruh Sabah melalui peruntukan Dana CSR PTPTN berjumlah RM100,000.

“Setiap pelajar akan menerima RM100 dalam bentuk akaun SSPN-i yang akan dibuka oleh PTPTN melalui kerjasama Jabatan Pendidikan Negeri Sabah. Selain membantu golongan asnaf yang terlibat, ini merupakan satu bentuk galakan memulakan penabungan,” katanya.

Beliau turut menyeru semua agensi kerajaan, swasta dan sekolah di negeri ini supaya memberi laluan kepada PTPTN mengadakan kempen penabungan di agensi masing-masing.

“Kerajaan Sabah akan menyalurkan bantuan dan kerjasama kepada PTPTN untuk mejayakan hasrat PTPTN agar lebih ramai ibu bapa menabung bagi tujuan pendidikan tinggi,” katanya.

Turut hadir Pembantu Menteri Pelanjaran dan Inovasi Jenifer Lasimbang, Pengerusi PTPTN Wan Saiful Wan Jan, Timbalan Eksekutif (Dasar & Operasi) PTPTN Mastura Mohd Khalid dan Timbalan Pengarah Sektor Pengurusan Sekolah Mohd Zaini Yanin.