Ketua Menteri Serah Geran Tanah Kepada Rakyat, Tunai Janji Manifesto

4353
Salah seorang wakil penduduk menerima geran Anak Negeri yang disampaikan Ketua Menteri.

Oleh RODELIO JUNJUN TAUCAN
TONGOD: Kerajaan negeri pimpinan Parti Warisan Sabah (Warisan) menunaikan di dalam manifesto pilihan raya apabila memberikan tanah kepada rakyat yang telah membuat permohonan sejak sekian lama.

Geran berstatus Anak Negeri berkeluasan 200 hektar itu yang diserahkan sendiri Mohd. Shafie Apdal bermakna penantian penduduk di lima buah kampung untuk memiliki tanah kini berakhir.

Ketua Menteri menyerahkan sebanyak 60 geran tanah individu itu kepada penerima dari Kampung Pinangah, Kironggu, Entilibon, Kitumbalng dan Telibon, iaitu yang pertama diagihkan beliau sejak memerintah Sabah.

“Saya belum memberi tanah kepada rakyat di Semporna, tetapi buat pertama kali sebagai Ketua Menteri, saya memberi tanah kepada rakyat di Tongod ini.

“Inilah usaha kita dalam menunaikan janji yang telah kita buat pada pilihan raya yang lepas”, katanya ketika berucap pada majlis perasmian Pesta Kaamatan Peringkat Dewan Undangan Negeri (DUN) Kuamut di sini.

Turut hadir pada majlis tersebut ialah Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kuamut, Datuk Masiung Banah; Pegawai Daerah Tongod, Rashid Abdul Harun dan Pengarah Jabatan Tanah dan Ukur, Safar Untong.

Dalam ucapannya, Shafie mengingatkan setiap penerima agar tidak menjual tanah-tanah berkenaan sebaliknya perlu dibangunkan agar boleh diwariskan kepada generasi akan datang.

Katanya, pemberian tanah itu adalah selaras dengan langkah kerajaan membantu rakyat dalam apa juga pendekatan.

“Saya tidak mahu seorang Ketua Menteri kaya raya, tapi rakyat miskin papa kedana. Saya tidak berbangga jika rakyat hidup dalam kesusahan sehingga kadang-kadang ada yang tidak cukup makan.

“Kejayaan sebenar seorang pemimpin tidak terletak pada harta yang banyak, pada duit berjuta-juta yang ada di dalam bank. Kekayaan perlu dikongsi bersama rakyat,” katanya.

Penduduk Tongod datang beramai-ramai menyambut ketibaan Ketua Menteri ke daerah itu.