Ketua Menteri Saran Umat Islam Hayati Erti Sebenar Pengorbanan

93
Shafie bersama ribuan jemaah menunaikan Solat Sunat Hari Raya Aidiladha di Masjid Daerah Ar-Rahman Semporna.

Oleh SURAIDAH ROSLAN
SEMPORNA: Ketua Menteri Datuk Seri Panglima Haji Mohd Shafie Apdal mengajak rakyat di Sabah supaya menghayati erti sebenar pengorbanan para Rasul yang sanggup berkorban demi menyebarkan syiar Islam.

Beliau berkata, penekanan dalam syiar Islam juga memerlukan umat Islam saling hormat-menghormati dan tidak berbalah antara satu sama lain.

Ahli Parlimen Semporna merangkap Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Senallang ini berkata, umat Islam tidak harus melakukan tindak tanduk yang boleh menjurus ke arah perbalahan dan pertelingkahan antara satu sama lain.

“Penting kepada kita untuk memaparkan dan mengamalkan perkara yang baik agar ianya boleh menjadi contoh kepada umat, bangsa dan agama lain.

“Kita juga tidak harus memaparkan sifat saling mencaci dan memfitnah orang lain tanpa sebarang fakta yang betul.

Shafie ditemani isteri Datin Seri Shuryani Mohd Shuaib melawat tapak penyembelihan lembu sempena ibadah korban yang disumbangkan Ketua Menteri, di Masjid Daerah Ar-Rahman Semporna.

“Tuntuan kita bukan hanya menyebarkan syiar Islam, tetapi juga menjadi contoh yang baik kepada umat lain,” katanya ketika ditemui pemberita selepas Solat Sunat Hari Raya Aidiladha, di Masjid Daerah Ar-Rahman Semporna, di sini pada Ahad.

Menurutnya, pengorbanan ditunjukkan Nabi Ibrahim dan Nabi Ismail A.S jelas menunjukkan bahawa mereka sanggup mengorbankan apa yang dicintai termasuk korbankan nyawa. Kini penggantinya adalah mengorbankan binatang sebagai menyambung rentetan kepada amalan-amalan yang harus dilakukan sebaik mungkin.

Beliau juga berharap agar rakyat di negara ini tanpa mengira bangsa dan agama agar sentiasa dalam keadaan sejahtera.

Mohd Shafie juga mahu rakyat sentiasa bersatu padu agar pembangunan negara dan negeri Sabah dapat direalisasikan.

Sempena bulan kemerdekaan ini, beliau juga menyarankan rakyat supaya meraikan bulan ini dengan sebaiknya kerana ada pihak yang sanggup mengorbankan nyawa demi mempertahankan sempadan, keselamatan dan kedaulatan negara.

Shafie bersama isteri, Datin Seri Shuryani Mohd Shuaib sempat menziarahi kuburan Ibu Bapa Ketua Menteri berkenaan.

“Maka, kita harus bersama-sama meraikan bulan ini dan mendoakan pejuang tanah air sentiasa dilindungi serta mendapat keredhaan,” jelasnya.

Dalam pada itu, Mohd Shafie turut mengadakan kenduri sempena Hari Raya Aidiladha di kediamannya yang dihadiri lebih 1,000 orang masyarakat Semporna.

Sebelum itu, beliau bersama isterinya, Datin Seri Shuryani Shuaib sempat menziarahi pusara kedua orang tuanya di Tanah Perkuburan Islam Pekan Semporna.