Ketua Menteri Sabah Terima Pemasyhuran Pro Canselor UMS

1051
Ketua Menteri Sabah menerima watikah pemasyhuran Pro-Canselor Universiti Malaysia Sabah sempena Majlis Konvokesyen UMS ke-20 di Dewan Canselor, di Kota Kinabalu pada Sabtu.

Oleh SURAIDAH ROSLAN
KOTA KINABALU: Ketua Menteri Datuk Seri Panglima Haji Mohd Shafie menerima watikah pemasyhuran Pro-Canselor Universiti Malaysia Sabah (UMS) sempena Majlis Konvokesyen UMS ke-20 di Dewan Canselor, di sini pada Sabtu.

Turut merima watikah pemasyhuran itu adalah Pengerusi Eksekutif Amcorp Group Berhad Tan Sri Azman Hashim.

Penyampaian watikah pemasyhuran disempurnakan oleh Yang Dipertua Negeri Sabah, Tun Juhar Mahiruddin merangkap Canselor UMS di hadapan 793 graduan Sidang Satu.

Kedua-dua mereka dilantik sebagai Pro-Canselor UMS oleh Kementerian Pendidikan Malaysia berkuatkuasa pada 1 Oktober 2018 hingga 30 September 2021.

Shafie, anak jati Sabah berasal dari Semporna ini adalah tokoh pemimpin yang tidak asing lagi di negeri ini.

Beliau dilahirkan pada 20 Oktober 1957 dan bersekolah menengah di Victoria Institution, Kuala Lumpur sebelum melanjutkan pengajian dalam bidang Diploma Pengurusan dan Perkapalan dari Kolej Perniagaan London serta Ijazah Sarjana Muda Ekonomi dengan Kepujiaan dari Politeknik Staffordshire Utara England.

Beliau memulakan kerjaya dalam perkhidmatan awam sebagai Pegawai Ahli Ekonomi di Kementerian Kewangan Negeri Sabah pada tahun 1982 dan pernah menyandang beberapa jawatan termasuklah sebagai Pegawai Pentadbir Kanan, Jabatan Ketua Menteri Negeri Sabah, dan Penolong Setiausaha Kanan di Kementerian Pembangunan Perindustrian dan Luar Bandar Sabah.

Beliau memulakan karier politik pada tahun 1991 apabila dilantik sebagai Setiausaha Politik kepada (mantan) Menteri Tanah dan Pembangunan Koperasi Tan Sri Datuk Sakaran Dandai.

Sepanjang penglibatannya dalam arena politik tanah air, beliau pernah dilantik sebagai Timbalan Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Timbalan Menteri Pertahanan, Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna Malaysia, Menteri Perpaduan, Kebudayaan, Kesenian dan Warisan Malaysia, serta Menteri Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah.

Pada tahun 2016, beliau menubuhkan Parti Warisan Sabah dan partinya itu telah melakar sejarah baru buat negeri Sabah apabila memenangi Pilihanraya Umum ke-14 dan berjaya membentuk kerajaan baharu Negeri Sabah.

Kini, beliau merupakan Ketua Menteri Sabah.

Manakala, Tan Sri Azman Hashim pula dilahirkan pada bulan Julai 1939 di Kuala Lumpur.

Beliau mempunyai 13 adik-beradik, beliau dididik dengan disiplin yang tegas oleh bapa dan ibunya yang bekerja sebagai guru sekolah.

Pada tahun 1954, beliau menduduki Peperiksaan Senior Cambridge dan mendapat gred satu, dan kemudian ditawarkan perakaunan dengan Biasiswa Rancangan Colombo yang membawanya ke Australia dari tahun 1955 hingga 1960.

Pada masa ini, beliau adalah Pengerusi Eksekutif Amcorp Group Berhad dan Pengerusi bagi beberapa anak syarikat Kumpulan AmBank dan juga Amcorp Properties Berhad.