Ketua Menteri Sabah: Pembangkang Harus Hormati Keputusan Rakyat

Oleh SURAIDAH ROSLAN
KOTA KINABALU: Walau rakyat sudah bersuara menolak Barisan Nasional (BN) semasa pilihan raya lalu, tindakan pembangkang mengekalkan wajah yang sama dalam Gabungan Bersatu Sabah (GBS) dilihat tidak akan membawa sebarang perubahan.

“Mereka bergabung dengan mengekalkan muka lama seperti Anifah Aman yang merupakan bekas Umno dan pemimpin Umno seperti Hajiji Nor juga berada dalam gabungan itu. Tiada pembaharuan.

“Dahulu mereka bertelingkah sesama sendiri (Umno & STAR Sabah). Jadi semoga mereka berjaya bersatu dalam gabungan itu,” kata Ketua Menteri merangkap Presiden Parti Warisan Sabah (Warisan) Datuk Seri Panglima Mohd Shafie Apdal (gambar).

Shafie berkata, rakyat telah bersuara semasa pilihan raya umum lepas jadi hormatilah keputusan rakyat yang telah menolak BN.

Katanya, Warisan sentiasa bersedia untuk berdepan dengan GBS menjelang pilihan raya yang akan diadakan pada empat tahun lagi.

“Itu terserah kepada mereka. Kalau mereka mahu bergabung, bergabunglah tetapi mereka yang bergabung ini juga adalah orang-orang Umno.

“Saya rasa rakyat keseluruhannya tahu apa yang berlaku di Sabah. Mereka tahu apa yang mereka mahukan. Saya yakin rakyat Sabah sudah memandang jauh ke hadapan,” katanya ketika diminta mengulas mengenai penubuhan rasmi GBS, di sini pada Khamis.

Para pemimpin dari Gabungan Bersatu Sabah.

GBS dianggotai oleh Umno, Parti Bersatu Sabah (PBS), Parti Bersatu Rakyat Sabah (PBRS) dan Parti Solidariti Tanahairku (STAR Sabah).

Shafie berkata, Kerajaan baharu tidak kisah apa yang pembangkang buat kerana apa yang lebih penting adalah langkah meningkatkan ekonomi dan menyediakan peluang pekerjaan kepada rakyat.

Katanya, diperingkat Kerajaan Negeri mereka perlu bergerak seiring dengan keperluan dan kehendak rakyat kerana rakyat memerlukan pekerjaan dan kewangan untuk menyara kehidupan keluarga.