Ketua Menteri Pulih Covid-19, Keluar Wad Pagi Ini

Oleh PEMBERITA BORNEOTODAY
KOTA KINABALU: Ketua Menteri, Datuk Seri Panglima Hajiji Noor yang telah pulih daripada Covid-19 dibenarkan keluar dari wad Hospital Queen Elizabeth (QEH), pagi ini.

Turut dibenarkan pulang ialah isterinya, Datin Seri Julia Salag.

Hajiji yang bimbang dengan peningkatan jumlah kes Covid-19 di Sabah berkata, kerajaan negeri akan berusaha sedaya upaya untuk membendung penularan wabak itu.

“Apa yang penting adalah rakyat mesti berdisiplin, bekerjasama dan sentiasa mematuhi Prosedur Operasi Standard (SOP) yang ditetapkan oleh pihak kerajaan,” katanya dalam satu kenyataan.

Dalam pada itu, beliau turut melahirkan penghargaan kepada Pengarah Kesihatan Negeri, Datuk Dr. Christina Rundi, Pengarah Hospital QEH 1, Dr. William Gotulis, Ketua Unit Penyakit Berjangkit, Dr. Lee Heng Gee, doktor-doktor pakar dan jururawat yang telah merawat beliau dan isterinya.

Hajiji turut menghargai semua yang mendoakan kesembuhan dan kesihatan beliau dan juga para petugas barisan hadapan (frontliners) yang bertungkus lumus berkorban masa dan tenaga dalam membendung penularan wabak Covid-19.