Ketua Menteri Penerima Pertama Vaksin COVID-19 Di Sabah

Oleh SURAIDAH ROSLAN
KOTA KINABALU: Ketua Menteri Datuk Seri Panglima Hajiji Noor selaku pemimpin utama negeri dijangka akan menjadi penerima pertama vaksin Covid-19 di Sabah.

Penghantaran pertama vaksin  Covid-19 dijangka tiba di Sabah pada 25 Feb ini dan upacara Perasmian Vaksinasi Covid -19 peringkat negeri dirancang pada 4 Mac ini.

Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan, Datuk Seri Panglima Masidi Manjun berkata, setakat ini, 109 buah Pusat Pemberian Vaksin telah dikenalpasti dan akan terlibat dalam pemberian vaksin di seluruh negeri.

Beliau berkata, jumlah Pusat Pemberian Vaksin ini akan diteliti keperluannya dari semasa ke semasa oleh Pasukan Petugas Imunisasi Covid-19 (CITF) peringkat daerah masing-masing.

Kemudian menyentuh mengenai cadangan pemberian vaksin Fasa 1 kepada guru-guru, Masidi berkata, setakat ini, berdasarkan perancangan awal Program Vaksin Covid-19, fasa satu akan merangkumi petugas-petugas kesihatan barisan hadapan dari sektor kerajaan dan swasta, dan juga petugas-petugas perkhidmatan penting (essential) dan pertahanan seperti Polis Diraja Malaysia, Angkatan Tentera Malaysia, Jabatan Bomba dan Penyelamat dan Jabatan Imigresen.

Bagaimanapun, kerajaan Sabah akan membuat pertimbangan teliti terhadap isu pemberian suntikan dalam Fasa 1 kepada guru-guru yang mempunyai komorbiditi kesihatan dan faktor-faktor risiko yang lain. Ia selaras dengan pengumuman Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi, Khairy Jamaluddin, semalam.

Menyentuh gambar tular sambutan ulang tahun UMNO Sabah baru-baru ini, Masidi berkata, beliau belum melihat sendiri gambar yang ditularkan maka, tidak adil untuknya membuat sebarang kenyataan sama ada sambutan itu melanggar prosedur operasi standard (SOP) atau sebaliknya.

Namun, beliau yakin, sambutan itu dibuat atas kelulusan yang diberikan dengan mematuhi SOP yang ditetapkan ketika Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB).

Bagaimanapun, setakat ini belum ada sebarang aduan atau laporan diterima mengenai penganjuran majlis tersebut.