Shafie Apdal Pelawa Pemain Industri Kayu-Kayan Melabur Di Sabah

644
SHAFIE APDAL

Oleh BORNEOTODAY
KUALA LUMPUR: Tumpuan terhadap mewujudkan industri hiliran dalam sektor pembalakan adalah sangat penting kepada Sabah dalam usaha kerajaan meningkatkan peluang pekerjaan kepada rakyatnya.

Ketua Menteri Datuk Seri Panglima Haji Mohd Shafie Apdal berkata, untuk ke arah itu semua pemain industri kayu-kayan negara ini khususnya dalam bidang perabot dijemput datang ke Sabah bersama-sama memajukan aktiviti hiliran dalam sektor berkenaan.

Bagaimanapun, beliau memberi jaminan bahawa pemain industri kayu-kayan di Sabah tetap diberi keutamaan dan pertimbangan akan diberikan kepada pelabur asing sekiranya tidak ada sambutan dari Semenanjung.

“Sektor hiliran kayu kayan di Semenanjung Malaysia tahun lalu berjaya menghasilkan sejumlah RM15.35 bilion pendapatan dan saya percaya jumlah itu turut disumbang oleh industri sama di Johor.

“Sementara Sabah hanya menghasilkan RM1.68 bilion pendapatan hasil daripada eksport kayu balak,” katanya ketika berucap dalam Sesi Khas mengenai Peluang Pelaburan di Sabah anjuran Majlis Kayu-Kayan Malaysia (MTC), di sini pada Isnin.

Beliau berkata, dalam usaha memajukan industri sektor hiliran itu, pemuliharaan hutan dengan aktiviti menanam semula spesis kayu-kayan seperti akasia dan lain-lain perlu dilaksanakan demi kemampanan alam sekitar.

Katanya, semua pemain dalam industri berkenaan juga perlu bergerak bersama kerajaan negeri untuk memelihara hidupan terancam seperti gajah dan haiwan-haiwan lain dalam ekosistem hutan.

Menurutnya, kini banyak gajah mati akibat dibunuh atau terperangkap disebabkan haiwan itu keluar dari habitatnya untuk mencari makanan. Haiwan-haiwan itu tidak lagi mempunyai bekalan makanan mencukupi dalam hutan menyebabkan haiwan tersebut keluar dari habitatnya.

MADIUS TANGAU

“Tindakan berani kerajaan negeri untuk menghenti eksport kayu balak hanya untuk kebaikan industri itu sendiri selain ingin memelihara spesis kayu balak yang hanya terdapat di Sabah.

“Apa yang penting adalah saya ingin membantu rakyat Sabah untuk mencari peluang pekerjaan dengan nilai tambah yang diwujudkan dalam industri hiliran kayu-kayan,” katanya.

Shafie percaya keputusan yang dilakukan itu adalah untuk kebaikan Sabah dan juga negara kerana Sabah khususnya masih banyak sumber asli yang masih tidak diterokai.

“Saya fikir sudah tiba masanya untuk kita realisasikan perkara ini, untuk ke arah itu kita perlu bekerjasama, bukan sahaja dari pihak kerajaan untuk memperincikan lagi polisi-polisinya dengan jelas tetapi perlu mendapatkan usahasama dari sektor swasta,” katanya.

Oleh itu, program seperti hari ini diadakan kerana saya ingin mendapatkan pandangan serta cadangan daripada anda semua. Anda semua adalah pakar, apa yang penting pada saya adalah bagaimana anda semua sebagai pemain penting dalam industri kayu-kayan dapat membantu membangunkan ekonomi serta menyediakan peluang pekerjaan kepada rakyat Sabah.

Sabah memang mempunyai kilang-kilang untuk industri kayu tetapi mereka tidak terlibat secara mendalam di sektor industri hiliran.

Sudah tiba masanya kita perlu wujudkan polisi baharu dan betul untuk tujuan industri hiliran selain mampu membantu memulihara alam sekitar dengan penanaman semula kayu.

Shafie Apdal, tengah, bersama Teresa Kok dan Madius Tangau di persidangan media di Kuala Lumpur pada Isnin.

Dalam sidang media yang diadakan, Shafie juga menjemput para pemain industri kayu kayan di negara ini untuk melabur di Sabah khususnya mewujudkan kilang-kilang mereka di Taman Perindustrian Kota Kinabalu (KKIP) dan Kelompok Industri Minyak Sawit (POIC) Lahad Datu serta POIC Sandakan.

Katanya, beliau ingin menjemput seramai mungkin pemain-pemain dalam sektor kayu-kayan dalam negara melabur di Sabah.

“Kita akan meminta pelabur dalam negara dulu datang sebelum menerima pelabur asing,” katanya.

Beliau turut menjelaskan perubahan polisi industri kayu-kayan diperingkat nasional masih kekal dan hanya dasar di Sabah sahaja mengalami perubahan besar.

“Perubahan dasar yang besar di Sabah adalah bagi memastikan pembangunan industri hiliran itu menjadi satu kenyataan.

“Kalau dahulu kerajaan negeri mengamalkan aktiviti eksport kayu balak besar keluar negara, tetapi kali ini kita susun semula pendekatan dan polisi untuk membolehkan nilai tambah diwujudkan dalam industri perabot.

“Ia akan dilaksanakan di Sabah bersama beberapa insentif yang akan disediakan seperti menyediakan landasan dalam taman perindustrian sedia ada untuk menarik pelabur datang ke Sabah.

Turut hadir di program itu ialah timbalan Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Madius Tangau yang juga Menteri Perdagangan dan Perindustrian Sabah dan Teresa Kok, Menteri Industri Utama.