Ketua Menteri Nafi Beri MyKad Kepada Pendatang Asing Di Keningau

7408
Sebahagian orang ramai dari kaum Kadazan, Dusun dan Murut di Program Hari Bersama Ketua Menteri di Keningau baru baru ini.

Oleh SURAIDAH ROSLAN
KOTA KINABALU: Ketua Menteri Datuk Seri Panglima Mohd Shafie Apdal menafikan wujud pemberian Kad Pengenalan (myKad) kepada PTI semasa pelaksanaan Program Hari Bersama Ketua Menteri di Keningau baru-baru ini.

Beliau berkata, pemberian IC hanya diberikan kepada rakyat tempatan seperti mereka yang berbangsa dusun yang mempunyai masalah dengan sijil kelahiran anak.

Katanya, pelbagai agensi seperti Jabatan Pendaftaran Negara (JPN), Jabatan Imigresen serta Mahkamah Bergerak turut berada dalam program itu untuk membantu menyelesaikan permasalahan rakyat.

Shafie Apdal

Dakwaan kemungkinan berlaku Projek IC 2.0 itu tidak seharusnya ditimbulkan kerana ianya tidak benar.

Pada Ahad, sebuah portal melaporkan kebimbangan tentang wujudnya Projek IC 2.0 berikutan ratusan orang ramai yang berkunjung ke kaunter JPN semas Program Hari Bersama Ketua Menteri di Keningau baru-baru ini.

Kaunter JPN dikatakan antara kaunter paling banyak penunjung yang membawa dokumen peribadi bagi permohonan IC (MyKad).

Mengenai cadangan pembinaan kilang tenaga arang batu di Sabah, Shafie berkata, itu adalah cadangan yang dinyatakan Perdana Menteri dan beliau tidak boleh menolak mentah-mentah cadangan sebegitu.

Katanya, apabila orang melontarkan cadangan, beliau tidak boleh menolak idea yang diberikan tanpa mempertimbangkannya.

Atas sebab itu, Shafie turut menyatakan Sabah turut mempunyai sumber tenaga pilihan lain seperti gas, solar dan hidro.

“Kita mempunyai gas yang banyak di Sabah untuk diterokai secara maksimum. Itu antara perkara yang kita boleh lihat. Kita akan melihat langkah yang terbaik untuk merealisasikannya walaupun ia akan mengambil masa,” katanya.

Beliau berkata, jika perlu mengunakan arang batu, Sabah mempunyai rizab arang batu yang banyak dan antara yang terbesar di Malaysia. Ini antara pilihan yang ada dan boleh dimanfaatkan.

Dalam perkembangan berkaitan usia dibenarkan berkahwin, Kerajaan Negeri akan membuat pengumuman mengenai usia yang dibenarkan untuk berkahwin setelah mengambil kira pelbagai perkara.