Ketua Menteri Mau Maklumat Terperinci Kes Penahanan Beras Vietnam

1236

Oleh SURAIDAH ROSLAN
PAPAR: Kerajaan Negeri akan mendapatkan maklumat terperinci mengenai penahanan beras dari Vietnam di pelabuhan Sepanggar oleh Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) baru-baru ini.

Ketua Menteri Datuk Seri Panglima Haji Mohd Shafie Apdal berkata, beliau tidak boleh maklumkan mengenai langkah kerajaan seterusnya kerana perkara ini dibawah bidang kuasa Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani Persekutuan.

”Saya akan dapatkan fakta secara terperinci mengenai perkara ini. Saya tidak boleh maklumkan apa-apa kerana diperingkat awal saya difahamkan beras ini untuk ‘transhipment’ tapi beras ini dibawah bidang kuasa Kementerian Pertanian Pusat.

”Namun, kita tengok dulu sekiranya ada keperluan, kita akan bantu sebaik mungkin,” katanya ketika ditanya tentang penahanan sebanyak 351 kontena beras di Pelabuhan Sepanggar yang sepatutnya dihantar ke Vietnam.

Pada Selasa, Sabah Cross Border Trade Association (SCBTA) melahirkan kebimbangan Sabah bakal berdepan kerugian RM2 bilion setahun sekiranya kes penahanan 351 kontena beras dari Vietnam di Pelabuhan Sepanggar tidak diselesaikan. Beras berkenaan difahamkan untuk dihantar ke Selatan Filipina.

Gambar Hiasan

JKDM melakukan penahanan beras seberat 9,000 metrik tan itu di Sepanggar pada Oktober tahun lalu.

Mengenai majlis itu, Mohd Shafie berkata, program turun padang sebegitu dilihat usaha yang baik bagi mendekati dan membantu rakyat di peringkat akar umbi yang telah memberi mandat kepada kerajaan pada hari ini.

”Kita sedar bahawa rakyat telah memberi mandat kepada kita. Walaupun kita tidak mampu menterjemahkan apa yang rakyat mahukan dalam masa yang singkat tetapi, kehadiran kita ke kawasan sebegini dapat membantu meringankan bebanan rakyat,” jelasnya.

Dalam majlis berkenaan, beliau turut menyampaikan watikah lantikan Majlis Pengurusan Komuniti Kampung (MPKK), zakat dan bantuan nelayan kepada penduduk kampung sekitar Parlimen Papar.

Terdahulu dalam ucapannya, Mohd Shafie menyarankan jabatan dan agensi negeri turut terlibat dalam pengurusan Projek Lebuh Raya Pan Borneo bagi memastikan pelaksanaannya boleh dipantau lebih dekat.

Katanya, beliau tidak mahu projek itu diuruskna oleh segelintir pihak sahaja.

”Saya telah berbincang dengan Lim Guan Eng (Menteri Kewangan) dan Baru Bian (Menteri Kerja Raya) supaya jangan ada kelewatan dalam usaha membangunkan jalan raya di Sabah ini,” ujarnya.

Majlis berkenaan turut dihadiri oleh Timbalan Ketua Menteri Datuk Jaujan Sambakong dan Menteri Undang-undang dan Hal Ehwal Anak Negeri Datuk Aidi Mokhtar serta Ahli Parlimen Papar Ahmad Hassan.