Ketua Menteri Mahu Sistem Kandungan Pendidikan Sabah Diubah

1890

Oleh SURAIDAH ROSLAN
KOTA KINABALU: Penstrukturan semula Sistem Kandungan Pendidikan di Sabah perlu dilakukan dengan memberi keutamaan kepada bidang teknik dan vokasional.
Ketua Menteri Datuk Seri Panglima Haji Mohd Shafie Apdal berkata, usaha itu bagi memastikan graduan yang dilahirkan institusi pendidikan dapat memenuhi keperluan industri.

“Sistem kandungan pendidikan perlu berubah kerana dunia juga semakin berubah. Tiada maknanya melahirkan ramai graduan jika bidang yang diambil tidak diperlukan industri.

“Untuk itu, kita perlu memastikan bidang yang ditawarkan institusi pendidikan sesuai dengan keperluan tenaga kerja yang diperlukan industri,” katanya ketika berucap sempena Majlis Penyampaian Bantuan Pendidikan One-Off Yayasan Sabah & Bantuan Balik Sekolah Menengah, di Dewan Kuliah Pusat, Universiti Malaysia Sabah (UMS), di sini pada Khamis.

Mohd Shafie berkata, apabila kursus yang diambil seiring dengan keperluan industri, graduan akan mudah memperolehi pekerjaan setelah tamat pengajian.
Beliau juga mahu supaya agenda pembangunan pendidikan di Sabah bergerak dalam satu gerakan yang bersepadu agar kejayaan yang lebih besar dapat dicapai.

Jamalul (kiri) menyampaikan cek replika kepada Kamarudin (kanan) sebagai simbolik Bantuan Pendidikan One-Off Yayasan Sabah, sambil disaksikan oleh Mohd Shafie (dua kiri) dan Dr Yusof (dua kanan)

Katanya, kejayaan tidak dapat dikecapi secara bersendirian. Untuk berjaya, ia memerlukan kerjasama secara kolektif dan komprehensif daripada semua pihak termasuklah pelajar, guru dan ibu bapa.

“Inilah agenda utama negeri Sabah dibawah kepimpinan Kerajaan Baharu, iaitu untuk membangunkan sistem pendidikan,” ujarnya.

Atas sebab itu, kerajaan mewujudkan Kementerian Pelajaran dan Inovasi agar kementerian itu dapat memberi fokus kepada bidang teknik dan vokasional.
Selain itu, selaku pengerak kepada agenda pembangunan negeri, kerajaan perlu mengenepikan kepentingan peribadi dengan menstrukturkan Yayasan Sabah.

Menurutnya, langkah kerajaan menghentikan pengeksportan balak secara sementara akan membolehkan Yayasan Sabah mempunyai kewangan yang lebih banyak agar bantuan pendidikan dapat ditambah.

“Penting selaku pemerintah kita menjaga amanah serta hasil bumi yang ada di Sabah ini. Jika bantuan pendidikan diperbanyakkan, ia akan membantu lebih ramai pelajar miskin agar mereka mampu melanjutkan pengajian.

“Hanya melalui pendidikan sahaja, anak-anak dari keluarga miskin mampu mengubah tahap kehidupan mereka ke arah yang lebih baik,” jelasnya.

Dalam majlis itu, Yayasan Sabah memperuntukkan RM1.06 juta kepada 1,300 orang pelajar sekolah menengah dan UMS yang menerima bantuan balik sekolah serta bantuan pendidikan one-off.

Bantuan pendidikan secara one-off diperkenalkan Mohd Shafie pada 2018 dengan peruntukan berjumlah RM10 juta. Sehingga kini sebanyak RM766.5juta tajaan pendidikan peringkat menengah dan pengajian tinggi telah diberikan kepada anak-anak Sabah.

Turut hadir dalam majlis itu adalah Menteri Pelajaran dan Inovasi Datuk Dr Yusof Yacob, Pengarah Yayasan Sabah Datuk Jamalul Kiram Mohd Zakaria, Pengerusi Lembaga Pengarah UMS Datuk K.Y Mustafa dan Naib Canselor UMS Prof Datuk Dr D Kamarudin D Mudin.