Ketua Menteri Mahu KILC Tingkatkan Pengeluaran Produk Tenusu

2249
Ketua Menteri melawat Keningau Integrated Livestock Centre (KILC)

Oleh SURAIDAH ROSLAN
KENINGAU: Kerajaan Negeri akan meneliti secara mendalam tentang permintaan agar Pusat Ternakan Bersepadu Keningau (KILC) diambil alih oleh pihak swasta.

Ketua Menteri Datuk Seri Panglima Haji Mohd Shafie Apdal berkata, perkara itu perlu diteliti secara baik agar ia dapat memanfaatkan industri yang telah diwujudkan sejak 2013 itu.

”Kita perlu memastikan industri ini memberi manfaat kepada seramai mungkin penternak.

”Misalnya, kita boleh membekalkan penternak dengan lembu dari pusat itu dan biarkan mereka menternaknya agar mereka boleh membantu membekalkan susu kepada pusat berkenaan. Susu segar ini memang mempunyai pasaran dan boleh dijual, begitu juga dengan daging yang ada, ianya boleh dijual.

Shafie Apdal dengan Yap Yun Fook di kolam ikan di Keningau.

”Maka, kita kena bantu golongan penternak ini terlebih dahulu. Kepentingan rakyat di peringkat akar umbi yang perlu diutamakan,” katanya ketika ditanya mengenai cadangan Pihak Berkuasa Pembangunan Ekonomi dan Pelaburan Sabah (SEDIA) yang mahukan KILC diambil alih oleh pihak swasta.

Beliau berkata demikian ketika Sidang Media sempena Lawatan Kerja Ketua Menteri ke Keningau, di sini pada Jumaat.

Menurutnya, KILC boleh mempertingkatkan pengeluaran tenusu yang dihasilkan sekiranya pusat itu menambahbaik pembungkusan dan pemasaran mereka disamping memperbagaikan produk yang dikeluarkan seperti susu berperisa dan keju.

Katanya, prasarana dan landasan sudah pun tersedia. Jadi, sudah sampai ketikanya untuk meningkatkan kapasiti di pusat yang mula beroperasi pada 2014 itu.

Mohd Shafie berkata, beliau tidak mahu melihat apabila sesuatu industri diwujudkan kemudian ia terus diserahkan kepada pihak swasta hanya disebabkan kekangan tertentu.

Kesukaran menguruskan pusat timbul berikutan tiada pengurusan yang betul. Jika dilihat pusat itu dikendalikan oleh pelbagai agensi iaitu dari Sawit Kinabalu, Lembaga Kemajuan Tanah Sabah (SLDB) dan sekarang SEDIA.

”Agensi-agensi ini tidak terlibat dengan pasaran selama ini, jadi kita akan lihat bagaimana langkah terbaik yang boleh diambil untuk pastikan kerajaan memainkan peranan secara baik,” ujarnya.

Katanya, beliau juga akan melihat kepada kemungkinan untuk menggalakkan sektor swasta seperti Ladang Ternakan Tenusu Yap Yun Fook agar bekerjasama dengan KILC dalam mempertingkatkan hasil pengeluaran tenusu.