Ketua Menteri Mahu Data Keperluan Kayu Dalam Pasaran Tempatan

800

Oleh SURAIDAH ROSLAN
KOTA KINABALU: Agensi kerajaan terlibat dalam industri kayu kayan diminta supaya mendapatkan data tentang keperluan dan spesis kayu yang diperlukan penggiat industri bagi memperkembangkan lagi industri hiliran kayu kayan di negeri ini.

Ketua Menteri Datuk Seri Panglima Haji Mohd Shafie Apdal berkata, dengan itu penggiat industri tidak perlu lagi mengimport kayu dari Semenanjung Malaysia seperti yang dilakukan selama ini.

Beliau berkata, tindakan kerajaan mengharamkan eskport balak secara sementara sejak tahun lalu diyakini mampu membekalkan kayu yang mencukupi kepada pengusaha kayu kayan tempatan.

“Saya sudah memaklumkan dalam mesyuarat bersama Ketua Pegawai Eksekutif Yayasan Sabah dan Taman Perindustrian Kota Kinabalu (KKIP) supaya tanya penggiat industri berapa banyak serta apa spesis kayu yang diperlukan industri agar kita dapat memberi bantuan.

“Kita mempunyai bekalan bahan mentah yang mencukupi jadi kita akan pastikan pengusaha industri kayu kayan ini mendapat bekalan yang diperlukan,” katanya ketika ditemui selepas lawatan ke Superwood Industries Sdn Bhd dan Borneo Benar Sdn Bhd, di sini pada Khamis.

Menurutnya, walaupun pengusaha kayu kayan sudah mula mendapatkan bekalan kayu tempatan tetapi prosesnya masih agak perlahan.

Oleh itu, kerajaan akan melibatkan agensi seperti Yayasan Sabah, KKIP, Jabatan Perhutanan Sabah untuk memastikan bekalan kayu untuk industri kayu kayan di negeri ini mencukupi.

Apabila keupayaan pengeluaran ditingkatkan, produk yang dihasilkan boleh dieksport ke negara seperti Amerika Syarikat dan Australia. Ia kerana ketika ini, Borneo Benar sudah mengeksport produk mereka ke Maldives.

Katanya, kerajaan bukan hanya perlu memastikan bekalan kayu mencukupi tetapi, juga perlu memastikan tenaga buruh terlatih dan kemudahan bekalan air dan elektrik mencukupi.

Mohd Shafie berkata, kerajaan juga akan membantu menangani masalah berkaitan pelabuhan kerana terdapat rungutan daripada penggiat industri bahawa bekalan bahan mentah mereka lambat sampai disebabkan terlalu banyak persinggahan.

Disamping itu, beliau juga akan melihat langkah-langkah yang perlu diambil bagi meningkatkan industri hiliran kayu kayan. Ia termasuklah menyediakan tenaga buruh terlatih dan berkemahiran.

Produk buatan Borneo Benar, sebuah syarikat Sabah, yang di eksport ke Maldives.

Ditanya mengapa selama ini pengusaha mendapatkan bekalan bahan mentah dari Semenanjung, beliau berkata, itu berikutan kebanyakan bekalan kayu yang ada di Sabah dieksport ke luar negara.

”Bila kayu kita dieksport ke luar negara, mereka akan bangunkan industri di negara mereka. Tetapi jika kita buka (kilang) di sini, anak-anak tempatan akan mendapat peluang pekerjaan,” jelasnya.

Maka, dasar tidak galakkan eksport dilihat akan membolehkan industri hiliran di Sabah terus berkembang.

Mohd Shafie berkata, apabila balak di eksport keluar, kerajaan memang mendapat royalti tetapi jangan hanya melihat hasil yang diperolehi kerajaan.

”Bukan hanya pendapatan negeri harus dipertimbangkan tetapi, pendapatan pekerja tempatan juga perlu diambil kira. Hasil kepada pekerja tempatan jauh lebih penting berbanding hasil yang diperolehi melalui eksport balak,” ujarnya.