Ketua Menteri Lawat Mangsa & Kawasan Terjejas Banjir

KOTA KINABALU: Prihatin dengan rakyat yang dilanda bencana banjir di beberapa daerah di kawasan Pantai Barat, Ketua Menteri, Datuk Seri Panglima Hajiji Noor hari ini turun padang meninjau sendiri keadaan banjir dan melawat Pusat Penempatan Sementara (PPS) banjir.

Pada sebelah pagi, Hajiji meninjau persiapan banjir di Pusat Kawalan Operasi Bencana (PKOB) Tuaran di Dewan Seri Sulaman Tuaran dan melawat Kampung (Kg) Kegayungan, Tuaran yang dilanda banjir.

Sementara pada sebelah petang beliau melawat PPS Dewan Masyarakat Likas yang menempatkan 46 orang mangsa dari tujuh keluarga.

Beliau kemudiannya meninjau keadaan banjir yang melanda Pekan Donggongon, Penampang selain melawat mangsa banjir di PPS Kompleks Sukan Penampang yang menempatkan 52 orang mangsa dari 12 keluarga.

Selain diberi taklimat keadaan banjir yang melanda kawasan Penampang oleh Ketua Polis Daerah Penampang, Deputi Superitendan Mohd Haris Ibrahim, Hajiji turut menyampaikan bantuan barang keperluan kepada mangsa-mangsa banjir di pusat itu.

Turut hadir ialah Setiausaha Kerajaan Negeri, Datuk Seri Panglima Sr. Safar Untong, Ketua Bahagian BERSATU Penampang, Senator Datuk John Ambrose, Ahli Parlimen Penampang, Datuk Darell Leiking dan Setiausaha Politik Menteri Kewangan, Johari Saiman.

Hajiji yang juga Menteri Kewangan telah mengarahkan Pegawai-Pegawai Daerah di kawasan yang sering dilanda banjir, agar mengaktifkan PKOB Daerah sebagai persiapan bagi membantu rakyat yang dilanda bencana alam itu.

Katanya, Kerajaan Gabungan Rakyat Sabah (GRS) bersimpati dengan rakyat yang ditimpa bencana alam itu.

“Kerajaan menerusi Jabatan Perkhidmatan Kebajikan Am (JPKA) dan Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA) telah menyalurkan bantuan berbentuk makanan bermasak kepada semua mangsa yang telah dipindahkan ke PPS dan bakul makanan bernilai RM200 bagi setiap Ketua Isi Rumah (KIR).

“Selain itu, pihak NADMA juga akan mengagihkan wang ihsan berjumlah RM500 bagi setiap KIR. Perkara ini akan diselaraskan oleh Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) dan Pejabat Daerah yang terlibat”, katanya.

Sementara itu, Hajiji akan mengadakan lawatan ke beberapa daerah lain yang terjejas akibat banjir, esok.

Ketua Menteri juga meminta Urusetia Bencana Negeri sentiasa memaklumkannya situasi terkini banjir di Sabah.