Ketua Menteri Lancar Kampus Kolej Komuniti Tambunan

418
Mohd Shafie berbual dengan Pairin sempena Majlis Pelancaran Kampus Kolej Komuniti Tambunan hari ini.

Oleh RODELIO JUNJUN TAUCAN
TAMBUNAN: Masyarakat Tambunan kini wajar berasa gembira dengan siapnya pembinaan Kampus Kolej Komuniti Tambunan bernilai RM20 juta yang menjadi mercu tanda baharu pembangunan di daerah berkenaan.

Bangunan tersebut yang tersergam indah dan dilancarkan Ketua Menteri, Datuk Seri Panglima Haji Mohd Shafie Apdal membuktikan usaha berterusan kerajaan dalam membangunkan sektor pendidikan negeri secara menyeluruh.

Turut hadir sempena pelancaran berkenaan ialah Menteri Pembangunan Infrastruktur, Datuk Peter Anthony; Menteri Pembangunan Luar Bandar, Datuk Ewon Benedick; Menteri Undang-undang dan Hal Ehwal Anak Negeri, Datuk Aidi Moktar serta Huguan Siou, Tan Sri Joseph Pairin Kitingan yang juga bekas Adun Tambunan.

Pelajar Kolej Komuniti Tambunan, (dari kiri) Cynthia Joyce Juip,Diana Ann Modius dan Angelie Adnan bergambar di kampus baharu yang telah siap.

Hadir sama, Timbalan Ketua Pengarah (Perancangan) Jabatan Pendidikan Politeknik dan Kolej Komuniti Kementerian Pendidikan, Tan Sri Dr Mohammad Naim Yaakub serta Pegawai Daerah Tambunan, Jumain Abdul Ghani.

Kampus di kawasan seluas empat hektar berkenaan yang telah pun digunakan membabitkan enam unit bangunan di dengan kapasiti sebanyak 200 pelajar serta peserta kursus pendek.

Bangunan berkenaan dilengkapi dewan kuliah serta makmal.

Kampus Kolej Komuniti Tambunan bakal menjadi gedung ilmu kepada belia tempatan dalam menyediakan diri mereka ke dalam sektor pekerjaan.

Mohd. Shafie berkata, kolej berkenaan membuka peluang pendidikan lebih tinggi kepada masyarakat Tambunan serta kawasan sekitarnya bagi membolehkan golongan belia mencari pekerjaan selepas tamat pengajian.

Justeru katanya, kursus yang ditawarkan perlu disesuaikan dengan keperluan pasaran pekerjaan yang ada dan bakal diwujudkan di Sabah.

“Kita akan bawa pelabur dari China datang ke Sabah jadi kita mahu teknologi dan modal tetapi biarlah pekerja itu orang kita yang mempunyai kemahiran tertentu,” katanya ketika berucap.