Ketua Menteri Kata Sabah Tidak Akan Halang Kebebasan Beragama

5845
SHAFIE APDAL, tengah: Dalam Al-Quran dinyatakan bahawa ‘kamu dengan agama kamu dan aku dengan agama aku’.

Oleh SURAIDAH ROSLAN
KOTA KINABALU: Ketua Menteri Datuk Seri Panglima Haji Mohd Shafie Apdal tidak melihat sebarang keperluan untuk menghalang mana-mana pihak mengamalkan agama mereka di negara ini.

Beliau berkata, masyarakat perlu menyokong antara satu sama lain. Atas sebab itulah, fahaman ekstremis dan perkauman tidak harus wujud dalam masyarakat.

“Apabila wujudnya kumpulan ektremis ia akan memberi kesan yang buruk terhadap agama tidak kira sama ada ia agama Islam mahupun Kristian.

“Disebabkan itulah penting kepada kita untuk tidak menghalang orang mengamalkan agama masing-masing. Itu yang kita amalkan di Malaysia dan juga Sabah. Malah, jika dilihat Kerajaan Negeri juga turut memberi bantuan kepada gereja-gereja dan kita tidak mempunyai masalah tentang itu

“Bagi saya cukup jelas, dalam Al-Quran dinyatakan bahawa ‘kamu dengan agama kamu dan aku dengan agama aku’. Kita harus menyayangi dan menghormati antara satu sama lain,” katanya ketika ditanya tentang pendirian Kerajaan Negeri mengenai ratifikasi Konvensyen Antarabangsa Mengenai Penghapusan Segala Bentuk Diskriminasi Kaum (ICERD).

Kemudian ditanya tentang perhimpunan bagi membantah pelaksanaan ICERD yang akan diadakan oleh PAS Sabah di Masjid Bandaraya Likas selepas Solat Jumaat, Shafie tidak memberi sebarang komen tentang bantahan itu.

“Saya hanya mahu membangunkan Sabah,” ujarnya.

Pelaksanaan ICERD mendapat tentangan hebat beberapa negeri termasuk pembangkang serta Pertubuhan Bukan Kerajaan (NGO) lain.

Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad baru-baru ini menyatakan pelaksanaan ICERD adalah sesuatu yang hampir mustahil untuk dilakukan kerana ia akan melibatkan pindaan dalam Perlembagaan Persekutuan.

Katanya, majoriti dua pertiga ahli Parlimen diperlukan bagi menyokong pelaksanaan ICERD.

“Hanya dengan sokongan daripada pembangkang akan membolehkan kita mencapai majoriti dua pertiga. Malah, anggota kerajaan pun mungkin tidak menyokong pelaksanaannya.

“Jadi saya berpendapapt adalah hampir mustahin bagi kami mencapai majoriti dua pertiga seperti diperlukan (untuk pindaan perlembagaan),” jelasnya.