Ketua Menteri Ingatkan Pemimpin Parti Beri Keutamaan Kepada Rakyat

1249
Mohd Shafie (tiga kiri) merasmikan Dewan Terbuka Datuk Musbah Jamli sempena majlis berkenaan, turut kelihatan Musbah, Ahli Parlimen Kota Belud Isnaraissah Munirah Majilis (kanan) dan anggota Kabinet Negeri yang lain

Oleh SURAIDAH ROSLAN
KOTA BELUD: Kerajaan pimpinan Parti Warisan Sabah (Warisan) akan memastikan pentadbiran kerajaan hari ini akan memberi keutamaan kepada rakyat dan bukannya kepada parti.

Ketua Menteri Datuk Seri Panglima Haji Mohd Shafie Apdal mengingatkan pemimpin parti supaya mengamalkan budaya berkongsi dengan memastikan bukan hanya pemimpin dan ahli Warisan sahaja yang memegang jawatan dalam pentadbiran dari peringkat atas hingga ke bawah.

”Budaya berpaksikan parti ini perlu diubah dan kita mahukan ada perkongsian dalam pentadbiran negeri. Kita tidak mahu amalan hanya orang-orang parti (Warisan) sahaja yang memegang jawatan.

”Atas sebab itu, apabila Warisan mengambil tampuk pemerintahan, kita tidak memecat ketua-ketua jabatan dalam perkhidmatan awam yang ada, cuma ada yang sudah berpencen dan berlaku banyak pertukaran.

”Memang dasar kerajaan siapa yang berpencen tidak disambung, itu memang dasar sedia ada,” katanya ketika berucap dalam Majlis Pemimpin bersama rakyat anjuran Dewan Undangan Negeri Sabah (DUN) Tempasuk, di Kampung Taun Gusi, di sini pada Ahad.

Mohd Shafie yang juga Presiden Warisan mahu melihat ada kesepaduan dalam mentadbir negeri ini. Kerjasama antara pimpinan kerajaan, perkhidmatan awam, swasta dan rakyat perlu ada.

”Kalau kita berpadu untuk membangunkan negeri, kita pasti mampu mewujudkan satu gelombang pembangunan dan kemajuan yang pastinya akan dinikmati pada hari ini dan akan datang.

”Jangan ada gelombang siapa mahu menjadi Ketua Menteri atau Ketua Bahagian kerana perkara sebegitu mempunyai tempat dan waktunya iaitu ketika pilihan raya dan pemilihan parti,” katanya.

Menurutnya, pemimpin kerajaan juga harus memberi fokus kepada melaksanakan kerja dan kurangkan berpolitik. Jangan cakap banyak sebaliknya banyakkan berkerja dengan berunding dengan pihak-pihak tertentu untuk tingkatkan kerjasama.

Katanya, harapan pengundi untuk kerajaan melakukan perubahan jadi, kerajaan akan melaksanakan perubahan itu satu demi satu bagi memastikan suara dan kehendak rakyat didengari dan direalisasikan.

Mohd Shafie juga mahu anggota parti Warisan supaya tidak terlalu bimbang dengan penyertaan pemimpin dan ahli-ahli baru di dalam Warisan.

”Jangan bimbang dengan kemasukan orang baru di dalam parti kerana kita harus bersikap terbuka menerima orang baru. Akan tetapi, kita juga tidak akan lupakan orang lama.

”Kita akan lebih teliti dalam menerima kemasukan orang baru kerana kita tidak mahu budaya lama menghancurkan parti sedia ada.

“Pengalaman lalu dan kesilapan pemimpin terdahulu perlu diambil pengajaran dan ditambahbaik agar sistem penyampaian dan perkhidmatan kerajaan sekarang akan lebih berkesan,” jelasnya.

Mengulas lanjut, beliau berkata, walau ada pihak menyatakan hala tuju kerajaan sekarang tidak jelas, tetapi yakinlah bahawa kerajaan hari ini akan memajukan sektor perindustrian dengan lebih baik.

Beliau berkata, Sabah mempunyai sumber asli yang cukup banyak dan kelebihan itu akan digunakan bagi menarik kemasukan lebih banyak pelaburan asing agar ianya mampu menyediakan banyak peluang pekerjaan.

Katanya,beliau sudah menemui beberapa pelabur yang berpotensi dan berminat untuk melakukan pelaburan dalam pelbagai bidang di Sabah.

Malah, beliau akan menemui 20 syarikat senarai awam tidak lama lagi bagi meminta mereka membawa masuk lebih banyak pelaburan di Sabah.

”Namun dalam membangunkan negeri kita tidak harus berhutang. Ketua Menteri dulu berhutang sebanyak RM1bilion dan kita perlu bayar hutang itu pada tahun ini.

”Maka, kita harus berbelanja mengikut kemampuan dan jangan membazir dengan berhutang yang kerana itu mungkin akan menyebabkan kita bankrap,” jelasnya.