Ketua Menteri Gesa Polis Sabah Perangi Perjudian Tidak Berlesen

3352

KOTA KINABALU: Kewujudan pusat perjudian tidak berlesen di negeri ini perlu ditangani sehabis-habisnya bagi mengawal gejala tidak sihat sebegini.

Ketua Menteri Datuk Seri Panglima Mohd Shafie Apdal berkata, pihak polis perlu memerangi habis-habisan aktiviti perjudian tidak berlesen ini.

Katanya, beliau agak kecewa dan sedih dengan kemunculan pusat-pusat perjudian tidak berlesen, terutamanya yang melibatkan judi siber.

Ia kerana aktiviti judi siber ini mendatangkan kesusahan kepada keluarga miskin yang terpengaruh dengan judi yang dianggap mampu melipatgandakan wang mereka.

“Wang tersebut yang sepatutnya digunakan bagi menyara keluarga dibazirkan dengan berjudi.

Shafie, kiri, dengan Omar Mammah

“Oleh itu, saya harap pihak polis akan berusaha memerangi gelaja ini secara habis-habisan,” katanya semasa menerima kunjungan hormat Pesuruhjaya Polis Sabah yang baharu Datuk Omar Mammah ke Pejabat Ketua Menteri di Pusat Pentadbiran Negeri Sabah (PPNS), di sini pada Rabu.

Mengiringi Omar semasa kunjungan hormat itu adalah pegawai kanan Ibu Pejabat Polis Kontinjen Sabah, termasuk SAC Tuan Mohamad Zulkarnain bin Abdul Rahman, Ketua Jabatan Pengurusan Sabah merangkap Pemangku Timbalan Pesuruhjaya Polis Sabah.

Antara lain ialah SAC Dato’ Suhaimi Bin Deraman, Ketua Cawangan Khas Sabah, SAC Zanuddian bin Hj Samsu Hadi, Komander Briged Sabah, SAC Ahmad Fadzillah bin Mohamed, Ketua Jabatan Pencegahan Dan Keselamatan Komuniti Sabah, SAC Jauteh bin Dikun, Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Sabah, SAC M Chandra ACP Ahmad Lokman bin Abdul Hadi, Komander Pangkalan Sabah, Pasukan Gerakan Udara PDRM, Supt Abdul Nasir bin Othman, Timb Komander PPM Wil. 4 Sabah, Supt Douglas Taong, Supt Pentadbiran, DSP Rosnah binti Awang Damit, PT Pentadbiran dan ASP Siti Noorlilah Bt. Latip, ASP HEPP, Jab. Pengurusan Sabah.

PERKEP pula di anggotai oleh Datin Diana Lee Dennis @ Abdullah, Pengerusi PERKEP Sabah, Datin Stella Ainun binti Abdullah, Puan Shalizan binti Abdul Razak, Puan Norhayatie Farhana binti Abdullah, Puan Vyetty ak Thomas Tajal dan Puan Sapbirina binti Yusup.

Dalam pada itu, Mohd Shafie menasihatkan anggota pasukan keselamatan itu agar menjalankan tanggungjawab mereka tanpa rasa takut atau memihak kepada pihak tertentu dalam membendung kegiatan jenayah.

Ketua Menteri itu juga menggesa pihak polis supaya mengembangkan keberadaan mereka di pantai timur negeri berkenaan melibatkan rondaan udara dalam membendung jenayah rentas sempadan terutamanya kes penculikan bagi mendapatkan wang tebusan.

Dalam temuramah dengan Bernama dan RTM Sabah, Omar berkata pihaknya akan mengadakan pertemuan dengan komuniti nelayan, pengusaha pelancongan dan penternak ikan di dalam sangkar di kawasan pantai timur Sabah bagi memberi pencerahan berhubung isu keselamatan di Zon Selamat Timur Sabah (ESSZone).

Omar berkata langkah itu disebabkan golongan berkenaan adalah ‘soft target’ (kumpulan terdedah) yang boleh menjadi mangsa kumpulan penjenayah rentas sempadan khususnya penculik bagi mendapatkan wang tebusan (KFR).

“Kami akan panggil mereka dalam masa terdekat untuk memberi nasihat serta langkah-langkah keselamatan yang perlu mereka ambil agar mereka tidak menjadi mangsa yang mudah,” katanya kepada pemberita.