
Oleh SURAYA SHANAZ
KOTA BELUD: Keberanian pemimpin muda mengkritik kepemimpinan kerajaan Perikatan Nasional (PN) membuktikan Ketua Menteri yang juga Presiden Parti Warisan Sabah (WARISAN) berjaya menanam sifat pejuang dalam kalangan pemimpin muda mengenai hak rakyat negeri ini.
Beberapa pemimpin akar umbi suku kaum Bajau di daerah ini turut menyokong tindakan kritikan yang dibuat oleh Ahli Parlimen Kota Belud, Isnaraissah Munirah Majilis terhadap Presiden Parti Peribumi Bersatu Malaysia (BERSATU) baru-baru ini, Tan Sri Muhyiddin Yassin, mengenai keperluan kerajaan Sabah dipimpin parti politik yang sehaluan dengan PN.
Malah mereka meminta rakyat tidak mendengar apa yang dikatakan oleh pemimpin PN bahawa hanya Putrajaya sahaja boleh membawa pembangunan ke negeri ini.
Ketua Kampung Siasai Jaya, Nuid Soh berasa gembira melihat anak muda dari daerah itu tampil kehadapan dan mengkritik seorang pemimpin dari Kuala Lumpur yang dilihat cuba menakut-nakutkan rakyat Sabah.
“Dalam keadaan politik Malaysia yang bergelora ini, pemimpin PN akan membuat apa sahaja untuk kekal berkuasa atau merampas kuasa dan keberanian Munirah untuk mengkritik kenyataan Muhyiddin itu amat membanggakan.
“Kita tidak perlu takut atau malu untuk mempertahankan apa yang betul dan kita perlu sokong serta memberi semangat kepada mereka yang berani ini.
“Ia kerana bukan mudah untuk seorang pemimpin muda dari Sabah tampil dan mempertahankan maruah serta hak Sabah, lebih-lebih lagi jika pemimpin itu ialah seorang wanita,” katanya menerusi satu kenyataannya di sini hari ini.

Ketua Kampung Kota Belud, Saifuddin Zaman, 58, berpendapat bahawa Munirah telah menunjukkan kualiti sebagai seorang pemimpin yang mahu membawa erti kemerdekaan kepada Sabah sepertimana yang pernah ditunjukkan oleh Tun Mustapha Datu Harun, dahulu.
“Allahyarham Tun (Mustapha) Datu ialah peneroka kepada idea kemerdekaan yang sebenarnya kepada rakyat Sabah khususnya etnik Bajau di sini di mana perkataan ‘Merdeka’ ini juga merangkumi cara kita mentadbir dan membangunkan Sabah.
“Jadi sekiranya kita masih memikirkan pembangunan Sabah hanya boleh dicapai sekiranya kita sehaluan dengan parti politik yang memerintah Putrajaya, itu bukan merdeka namanya tetapi ‘hamba politik’.
“Kita jangan dengar pemimpin PN Sabah yang mengatakan bahawa hanya Putrajaya sahaja yang boleh membawa pembangunan ke negeri ini. Pemimpin seperti ini malas dan takut berjuang untuk Sabah,” katanya.

Sementara itu, seorang veteran politik dari Kota Belud, Datuk OKK Hanjan Samit, 68, menganggap keberanian Munirah untuk menegur kenyataan yang dibuat oleh Muhyiddin itu menunjukkan kebangkitan semula pemimpin politik etnik Bajau di negeri ini.
“Ini menunjukkan bagaimana Presiden WARISAN berjaya menanam sifat berjuang demi maruah dan hak Sabah dalam pemimpin pelapis muda parti itu,” katanya yang juga Ketua Daerah Kota Belud.
Beliau berkata, masih diingati bagaimana etnik Bajau mengalami zaman kemalapan politiknya bila beberapa tokoh politik seperti Datuk Amir Kahar Tun Mustapha, Datuk Seri Salleh Said Keruak dan Tan Sri Pandikar Amin Mulia telah ‘dicantas’ oleh Tan Sri Musa Aman pada PRU12, tahun 2008.
“Tetapi sejarah berulang-kali telah mengajar kita bahawa sesebuah etnik itu tidak mampu untuk mempertahankan maruah dan hak Sabah bersendirian, maka sebab itu, etnik Bajau di Kota Belud ini harus bangkit bersama-sama dengan etnik yang lain seperti Kadazandusun Murut (KDM), Cina, Rungus, Brunei dan Bisaya di bawah kepemimpinan ketua menteri,” katanya sambil menambah hanya melalui kepemimpinan ketua menteri sahaja rakyat mampu memartabatkan negeri ini semula.