Ketua Jabatan Tolak Rasuah, Peniaga Ditahan SPRM

KOTA KINABALU: Cubaan seorang peniaga menyogok penjawat awam tidak berjaya sebaliknya, peniaga tersebut yang ditahan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), hari ini.

Peniaga berkenaan dipercayai menyogok seorang ketua jabatan sebuah agensi kerajaan sebanyak RM2,000 bagi mempercepatkan proses kelulusan penjualan minyak kepada nelayan di Jeti Batu Putih, Sandakan pada 15 Jan lalu.

Berdasarkan sumber, suspek lelaki berusia 50an itu ditahan di Pejabat SPRM Kota Kinabalu hari ini, selepas ketua jabatan terbabit melaporkan perkara itu kepada SPRM.

Sementara itu, Pengarah SPRM S. Karunanithy ketika dihubungi mengesahkan tangkap tersebut dan memaklumkan lelaki berkenaan telah ditahan selama 24 jam untuk siasatan lanjut.

Karunanithy turut memuji tindakan ketua jabatan terbabit yang melaporkan kes rasuah kepada pihak SPRM selaras dengan Seksyen 25 Akta SPRM 2009 iaitu kewajipan untuk melaporkan transkasi penyogokan.

Justeru itu, beliau turut menyeru semua penjawat awam di Sabah supaya tampil membuat laporan kepada SPRM sekiranya terdapat sebarang cubaan menyogok wang rasuah ketika menjalankan tugas.