Ketua Hakim Syarie Baharu Telah Dicadangkan, Kekangan Di Federal

246
AHMAD LAKIM

Oleh RODELIO JUNJUN TAUCAN
KOTA KINABALU: Kementerian Undang-Undang dan Hal Ehwal Anak Negeri mengesahkan telah memberi cadangan kepada Jabatan Kehakiman Syariah Malaysia (JKSM) untuk melantik Hakim Mahkamah Tinggi Syariah, Ahmad Lakim ke jawatan Ketua Hakim Syarie Sabah yang baharu.

Menterinya, Datuk Aidi Moktar berkata, syor tersebut dibuat melalui surat bertarikh 21 Mac lalu dan pada masa sama, Majlis Ugama Islam Sabah (MUIS) turut menyampaikan cadangan tersebut kepada Yang Dipertua Sabah mengikut Seksyen 5(1)Enakmen Mahkamah Syariah Sabah 2004.

Katanya, Yang Dipertua Sabah, Tun Juhar Mahiruddin telah memberi perkenan kepada syor berkenaan dan diwartakan melalui Warta Kerajaan Negeri bertarikh 27 Jun lalu.

AIDI MOKTAR

“Seperti mana kita sedia maklum bahawa pegawai berkenaan merupakan pegawai Persekutuan dan semua proses pelantikan atau kenaikan pangkat adalah tertakluk di bawah bidang kuasa Perkhidmatan Persekutuan.

“Manakala bidang kuasa negeri adalah dalam memberikan tauliah di bawah Seksyen 5(1) Enakmen Mahkamah Syariah 2004,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Beliau berkata demikian bagi menjawab persoalan ditimbulkan seorang peguam syarie tentang pelantikan tersebut kerana individu dilantik masih belum menjalankan tugas.

Hamid Ismail seperti dilaporkan sebuah akhbar tempatan berkata, amat menghairankan apabila individu dilantik masih menjalankan tugasnya di Semenanjung bukannya di Sabah.

Mengulas perkara itu, Aidi berkata, pihaknya mendapati ada beberapa kekangan dalam pelantikan berkenaan melalui surat JKSM bertarikh 25 Jun yang memaklumkan Ahmad telah memilih opsyen pencen 58 tahun dan akan bersara wajib pada 2 September depan.

“Namun difahamkan bahawa pihak JKSM telah mengemukakan cadangan pemangkuan ini kepada Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) yang mana keputusan pemangkuan jawatan pegawai terbabit adalah di bawah bidang kuasa Lembaga Kenaikan Pangkat Perkhidmatan Awam yang dipengerusikan Ketua Setiausaha Negara,” kata Aidi.

Menurut Aidi, berikutan perkembangan tersebut, dalam perjumpaan khas bersama Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr. Mujahid Yusof dan Ketua Hakim Syarie, beliau telah mencadangkan kedua-dua mereka untuk menghadap Yang Dipertua Sabah bagi memaklumkan perkara itu.

“Untuk itu saya berpandangan bahawa di peringkat kerajaan negeri Sabah, perkara itu telah pun diselesaikan dan tidak menjadi isu, manakala kekangan hanyalah di peringkat Perkhidmatan Persekutuan untuk membolehkan pemangkuan jawatan itu dilaksanakan,” tambahnya.