Ketua Hakim Richard Malanjum Bersara, Pengganti Belum Diumum

1786

Di Terjemahkan Oleh EDDIE ANGAT
KOTA KINABALU: Ketua Hakim Negara, Tan Sri Richard Malanjum bersara hari ini selepas memegang jawatan itu selama sembilan bulan sejak Julai lalu.

Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad bagaimanapun ketika ditemui pemberita masih belum menyatakan siapa nama yang dipilih bakal pengganti Richard.

“Saya sudah ada calon. Saya akan beritahu anda kemudian,” katanya kepada pemberita selepas melancarkan Autoshow Malaysia 2019 anjuran Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri seperti dilaporkan The Star.

Richard yang akan berusia 67 tahun pada 13 Oktober depan kini berkhidmat di bawah sambungan kontrak selama enam bulan mengikut Perlembagaan Persekutuan dan berakhir hari ini.

Sementara itu, ketika dihubungi The Star, beliau memberikan mesej kepada para hakim:

“Kepada rakan-rakan hakim yang lain, berikan yang terbaik jangan mengharap apa-apa.

“Saya pula akan teruskan membantu golongan kurang bernasib baik dalam apa sahaja cara yang boleh,” katanya.

Sebaik sahaja mengangkat sumpah pada 11 Julai tahun lalu, Richard tanpa membuang masa telah membawa perubahan dan transformasi kepada badan kehakiman negara.

Antara langkah diambil adalah mencegah rasuah dengan pengisytiharan aset para hakim, tidak menerima hadiah dan membentuk satu badan bagi memastikan apa-apa keputusan pentadbiran badan kehakiman dibuat secara bersama oleh Ketua Hakim Negara, Presiden Mahkamah Rayuan, Ketua Hakim Malaya dan Hakim Besar Sabah Sarawak.

Pemeriksaan mengejut turut diadakan secara berkala oleh Richard dan ketiga-tiga hakim kanan berkenaan untuk memastikan peningkatan berterusan dan berkesan dalam pentadbiran serta ajudikasi kehakiman.

Beliau turut memperkenalkan kertas waktu untuk pengurusan tempoh penghakiman dan reformasi e-mahkamah yang mereformasi khidmat kepada orang awam melalui sistem undian dalam talian iaitu penetapan kes serta hakim dibuat oleh sistem tanpa penglibatan manusia bagi mengelakkan tuduhan berat sebelah.

Sistem pengurusan kes dalam talian, e-review tanpa perlu kehadiran pihak terlibat juga dilaksanakan, yang membolehkan peguam serta klien meluangkan masa masing-masing melakukan perkara lebih berfaedah.