Ketatkan Kawalan Masuk Dari Sarawak/Kuala Lumpur Ke Labuan

LABUAN: Kawalan masuk dan keluar antara Labuan dengan Sarawak dan Kuala Lumpur juga perlu diperketatkan bagi mengawal penularan varian Covid-19 dari India.

Kawalan yang ketat itu adalah langkah terbaik yang boleh memutuskan rantaian jangkitan dan mengelakkan penyebaran dari satu negeri ke satu negeri.

Ahli Parlimen Labuan, Datuk Rozman Datuk Isli berkata,  kebanyakan negeri dan daerah di Semenanjung dan Sarawak sudah menjadi zon merah jadi amat wajar kawalan perlu diperketatkan.

Namun, kelonggaran bagi membenarkan perkhidmatan dan barangan perlu terus beroperasi antara Sabah dan Labuan amat dihargai.

Beliau juga mahu proses vaksinasi dilaksanakan lebih pantas kerana program vaksinasi di negara  ini masih ketinggalan berbanding di negara-negara lain.

“Masih ramai rakyat yang sudah mendaftar tetapi masih menunggu giliran. Saya juga ingin mengingatkan kepada mereka yang belum mendaftar di aplikasi MySejahtera untuk segera berbuat demikian,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Menurutnya, memandangkan pandemik Covid-19 sudah melanda negara sudah lebih setahun, penyediaan bantuan dan program pemulihan perlu dilaksanakan secara berterusan kerana ramai yang kehilangan pekerjaan sepanjang pandemik melanda.

Ketika ini banyak perkara yang membebankan rakyat Labuan yang perlu ditangani segera termasuk peningkatan kos sara hidup dan keperluan menyediakan subsidi pengangkutan dan subsidi ujian swab Covid-19.

Katanya, kos ujian swab Covid-19 di klinik swasta perlu dikawal dan diturunkan seperti yang ditawarkan di Kota Kinabalu.

Sekurang-kurangnya kos bagi ujian RTK-Ag RM80 dan PCR sekitar RM200. Kos bagi ujian swab di Labuan sekarang adalah RM150 untuk RTK-Ag dan RM500 untuk PCR.

“Ujian PCR di Labuan memakan masa tiga hingga lima hari untuk mendapatkan keputusan yang mana bererti keputusan keluar selepas luput jangka masa 72 jam. Sekarang ujian PCR diwajibkan untuk rentas masuk ke Sabah dan ke Labuan.

“Memandangkan Labuan berada dalam Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) dengan prosedur operasi standard (SOP) lebih ketat, pihak kerajaan mestilah bersedia dengan peruntukkan yang cukup untuk bantuan makanan.

“Disamping itu, bantuan-bantuan lain untuk peniaga-peniaga kecil sederhana dan mikro termasuk pengusaha teksi, bas mini dan e-hailing juga perlu disediakan,” ujarnya.

Rozman juga meminta kerajaan memanjangkan tempoh pemberian diskaun kepada penyewa-penyewa premis perniagaan yang dimiliki oleh Perbadanan Labuan serta premis di dalam Ujana Kewangan.

Mengenai penurunan hampir 200 banting peringatan zon merah di Labuan, beliau melahirkan kekecewaan atas tindakan Perbadanan Labuan itu. Banting sebegitu digantung bagi mengingatkan orang ramai tentang keseriusan kes Covid-19 di Labuan.

“Perkara ini tidak sepatutnya berlaku di antara dua jabatan penting dalam peperangan kita melawan Covid-19. Ianya sangat mengecewakan memandangkan JKPB itu adalah dipengerusikan oleh Perbadanan Labuan dan Jabatan Kesihatan mengetuai operasi.

“Peperangan melawan Covid-19 ini memerlukan perpaduan dan kerjasama semua peringkat. Semua mesti menyumbang kepada kejayaan ini.

“Saya meminta orang ramai untuk sentiasa mematuhi SOP yg ditetapkan dengan penuh disiplin. Buat seketika ini, jangan keluar rumah kecuali untuk keperluan asas sahaja,” katanya.