Kesihatan Mental: Ubah Persepsi Masyarakat

Saripuddin dan Dr Halimah Arsad ketika perasmian Borneo Mental Health Run 2019.

Oleh ARDYHANSAH AMAT
Tawau: Masyarakat perlu mengubah stigma dan pandangan tipikal mengenai kesihatan mental yang sering dianggap kurang penting berbanding penyakit fizikal.

Pembantu Menteri Kewangan merangkap Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Merotai Saripuddin Hatta berkata, ini kerana masalah kesihatan mental boleh membawa kesan di luar jangka jika tidak dikawal termasuk kematian dan bunuh diri.

“Statistik menunjukkan masalah kesihatan mental di negara kita semakin meningkat dari semasa ke semasa.

Sebahagian peserta Borneo Mental Health Run 2019 di Hospital Besar Tawau.

“Misalnya, kajian Kesihatan dan Mordibiti Kebangsaan menunjukkan tingkah laku bunuh diri dalam remaja berusia 13 hingga 17 tahun menunjukkan peningkatan semasa iaitu prevalen idea ingin membunuh diri adalah 10 peratus pada 2017 berbanding 7.9 peratus pada 2012.

“Selain itu, prevalen cubaan membunuh diri pula 6.9 peratus berbanding 6.8 peratus bagi tempoh yang sama,” katanya ketika menyampaikan ucapan perasmian Borneo Mental Health Run 2019 sempena sambutan Hari Mental Sedunia, di Hospital Besar Tawau, di sini, hari ini.

Turut hadir Pengarah Hospital Besar Tawau Dr Halimah Arsad dan Ketua Jabatan Psikiatri dan Kesihatan Mental hospital Dr Chin Han Lim.

Tambah Saripuddin, masyarakat sering menganggap individu yang ada masalah mental adalah lemah atau terlalu bersikap dramatik bagi menarik perhatian.

“Stigma sebegitu menyebabkan mangsa lebih tertekan, menderita dan tidak menerima rawatan perubatan atau bantuan sewajarnya.

“Justeru, saya berharap dengan adanya program kesedaran seperti ini, kita mampu mendidik masyarakat mengenai masalah kesihatan mental,” katanya.

Terdahulu, lebih 200 peserta menyertai Borneo Mental Health Run 2019, selain beberapa aktiviti menarik lain termasuk cabutan bertuah dan senamrobik.