‘Keselamatan Terkawal, Turunlah Mengundi’ – Madius

Oleh SURAIDAH ROSLAN
KIULU: Presiden Pertubuhan Kinabalu Progresif Bersatu (UPKO) yang juga Calon DUN Kiulu, Datuk Seri Panglima Wilfred Madius Tangau selesai menunaikan tanggungjawab mengundi pada 10 pagi di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Tun Fuad Stephens Kiulu.

Berkongsi mengenai proses perjalanan pilihan raya, Madius berkata, beliau berpuas hati dengan proses pengundian setakat ini kerana semua pengundi mengikut prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan.

“Bermula dari pintu masuk sehingga proses mengundi. Tiada masalah dan tiada sebab untuk mana-mana pengundi ragu-ragu untuk datang.

“Harapan saya supaya pengundi keluar mengundi kerana kita masih mempunyai banyak masa sehingga 5 petang.

“Dengan itu, turunlah beramai-ramai kerana tiada perkara harus diragui dan ditakuti dari segi SOP kesihatan yang berjalan baik. Begitu juga dengan keselamatan, tiada masalah,” katanya.

Beliau turut menasihatkan orang ramai agar jangan dengar khabar angin mengenai soal keselamatan kerana semuanya terkawal.

Sebelum itu, Madius turut melawat beberapa pusat pengundian termasuk di Sekolah Kebangsaan (SK) Rangalau.