KOTA KINABALU: Kerajaan Sabah akan terus mempertingkatkan keselamatan makanan di negeri ini dalam memastikan bekalan makanan sentiasa mencukupi sama ada sepanjang atau selepas Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).
Ketua Menteri Datuk Seri Panglima Mohd Shafie Apdal berkata, usaha itu bagi mengurangkan kebergantungan Sabah terhadap bekalan makanan import.
Katanya, beliau mahu Sabah meningkatkan keupayaan pengeluaran makanan termasuk dalam sektor pengeluaran beras tempatan.
Dengan itu, kerajaan Sabah menyediakan 10,000 ekar bagi penanaman padi di Terusan Sapi, Sandakan. Disamping itu, seluas 200 ekar (80 hektar) kawasan padi bukit akan turut ditanam di Long Pasia, Sipitang.
Mohd Shafie berkata, jika ingin bergantung kepada pengeluaran beras di Kota Belud sahaja, ia tidak akan mencukupi.
Malah, di Membakut juga akan dibangunkan sektor pertanian bagi meningkatkan keselamatan makanan di negeri ini.
“Sabah ingin memberi keutamaan kepada keselamatan makanan. Kita akan melihat bagaimana kaedah terbaik untuk memastikan kita mempunyai bekalan makanan mencukupi untuk rakyat.
Mengenai keperluan membuka sektor tambahan sepanjang PKP tahap tiga ini, Mohd Shafie berkata, beliau akan melihat keutamaan mengikut sektor.
Katanya, sekiranya ingin membuka sektor untuk eksport sekali pun, kebanyakan negara di dunia juga sedang ‘lockdown’.
Dalam majlis itu, beliau menyampaikan bantuan kewangan Covid-19 berjumlah hampir RM490,000 kepada UiTM cawangan Sabah, Politeknik Kota Kinabalu, Kolej SIDMA, Institusi Pendidikan Guru (IPG) Kent dan Kolej Universiti North Borneo.