Keselamatan Daerah Tanggungjawab PBT, Pegawai Daerah

Oleh ARDYHANSAH AMAT
TAWAU: Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) dan Pegawai Daerah bertanggungjawab penuh terhadap isu keselamatan di daerah masing-masing termasuk membabitkan pandemik Covid-19.

Ketua Menteri Sabah Datuk Seri Mohd Shafie Apdal berkata, ini kerana setiap pelaksanaan langkah kawalan berkaitan dilakukan oleh pihak terbabit berdasarkan perkembangan semasa di daerah berkaitan.

“Kita kena ikut sistem peraturan kerana dari segi pengawalan, bukan mereka (Kerajaan Pusat) yang melaksanakan, tapi kita di peringkat negeri.

“Ini yang kita mahukan kerjasama antara kerajaan (G2G) dan Persekutuan kena faham bahawa PBT serta Pegawai Daerah bertanggungjawab di kawasan masing-masing…. takkan kuasa itu juga mereka hendak ambil,” katanya kepada media, hari ini.

Terdahulu tular surat arahan Majlis Perbandaran Tawau (MPT) berkaitan penutupan tamu mingguan, pasar borong, gerai buah, gerai terbuka sekitar daerah ini, selain beberapa sekolah diarahkan tutup berikutan berlakunya kes Covid-19 di situ.

Bagaimanapun, Menteri Kanan (Kluster Keselamatan) Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob dalam kenyataannya di Sandakan, minggu lalu, melarang PBT menutup pasar dan sekolah di Tawau kerana prosedur operasi standart (SOP) hanya boleh dikeluarkan Kerajaan Persekutuan bukannya Kerajaan Negeri mahupun PBT, sebelum arahan itu ditarik semula, sehari kemudian.

Menurut Mohd Shafie, siapa berkuasa bukan menjadi keutamaan, sebaliknya keselamatan penduduk setempat menjadi keutamaan.

“Persekutuan tidak akan tahu apa yang sedang berlaku di Tawau, siapa dijangkiti dan sebagainya…yang tahu adalah Kerajaan Negeri dan PBT,” katanya.