Kesalahan Ke5: Bot Nelayan Dirampas, 3 Nelayan Warga Indonesia Ditahan

Pihak berkuasa menghampiri sebuah bot nelayan yang didapati melakukan kesalahan kali kelima di perairan Kudat.

KUDAT: Tidak serik-serik.

Itulah ungkapan paling sesuai diberikan kepada pengusaha sebuah bot nelayan yang tidak pernah insaf daripada melanggar undang-undang walaupun sudah beberapa kali ditahan.

Dalam kejadian pada pukul 12 tengah malam tadi, bot berkenaan ditahan Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) ketika sedang menunda pukat kurang daripada tiga batu nautika di perairan Kudat yang boleh menjejaskan hidupan marin.

Pengarah Zon Maritim Kudat, Komander Maritim Boon Chin Chau berkata, tiga orang warga Indonesia yang mengendalikan bot terbabit ditahan di kedududukan sekitar 1.9 batu nautika dari Tanjung Parapat, Kudat.

Katanya, pemeriksaan ke atas lesen bot mendapati bot terbabit telah melanggar syarat sah lesen iaitu menunda pukat di kawasan kurang daripada tiga batu nautika dan kesalanan itu merupakan yang kelima membabitkan bot tersebut.

Menunda pukat di kawasan kurang tiga batu nautika dari daratan boleh menyebabkan kerosakan hidupan marin.

“Kebanyakan bot yang melakukan aktiviti ini akan menjalankan aktiviti mereka pada lewat malam dan awal pagi. Selain itu mereka juga biasanya akan bergelap supaya tidak dapat dikesan oleh pihak penguatkuasa.

“Mereka mengambil mudah akan undang-undang demi keuntungan segera. Aktiviti menunda di kawasan yang tidak dibenarkan ini akan merosakkan batu karang dan menjejaskan keseimbangan ekosistem alam,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Menurut Chin Chau, bot terbabit telah dirampas manakala ketiga-tiga nelayan yang berusia antara 35 ke 41 tahun ditahan serta dibawa ke Jeti Awam Kudat sebelum diserahkan kepada pegawai penyiasat untuk tindakan lanjut.

Kata beliau, kes disiasat dibawah Akta Perikanan 1985 kerana melanggar syarat sah lesen.

“Maritim Malaysia menasihatkan kepada para majikan serta pemilik-pemilik bot agar sentiasa cakna dan peka dengan aktiviti dan pergerakan pekerja anda.

“Pastikan tekong bot memahami serta mengetahui akan undang-undang dan peraturan yang sedia ada sebelum diberikan tugas. Sentiasa patuh dan akur pada undang-undang dan peraturan yang telah ditetapkan”, tambahnya.

Chin Chau berkata, orang awam terutama komuniti maritim perlu bekerjasama dengan pihak penguat kuasa dalam membanteras kegiatan jenayah atau pelanggaran undang-undang di Zon Maritim Malaysia.

Jelasnya, orang awam dinasihatkan menghubungi talian Malaysia Emergency Respond System (MERS 999) atau Pusat Operasi Maritim Kudat di talian 088-610858 jika mempunyai sebarang maklumat berhubung kejadian kecemasan atau sebarang jenayah yang berlaku di perairan negara.