Kes Zahid Hamidi, Hormati Keputusan Mahkamah – Shafie

SEMPORNA : Keputusan Mahkamah Tinggi Shah Alam, hari ini yang melepas dan membebaskan Presiden UMNO Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi daripada 40 tuduhan menerima suapan daripada syarikat Ultra Kirana Sdn Bhd (UKSB) berhubung kontrak pengendali Perkhidmatan One Stop Centre (OSC) di China dan sistem Visa Luar Negara (VLN), perlu dihormati.

Presiden Parti Warisan, Datuk Seri Mohd Shafie Apdal berkata mahkamah telah membuat keputusannya hari ini dan ia perlu diterima dan dihormati tanpa perlu mengaitkannya dengan dakwaan campur tangan politik atau campur tangan pihak tertentu.

“Ini kita serahkan dengan pihak mahkamah. Saya tidak boleh cakap bahawa itu ada campur sana campur sini. Kita perlu menhormati undang-undang dan mahkamah. Kalau mahkamah dah putuskan seumpama itu, maka perlu menerimanya ya,” katanya.

Shafie ditemui media ketika mengadakan lawatan ke Pulau Larapan di sini, tengahari tadi.

Katanya terserah kepada pihak kerajaan untuk membuat rayuan berhubung keputusan Mahkamah Tinggi Shah Alam itu.

“Kalau ada appeal pihak kerajaan boleh appeal ya. Itu terserah dengan mereka tapi kita menghormati apa ketetapan pihak mahkamah memutuskannya. Saya tak boleh kata oh yang itu keputusan ini, contempt of court, it’s not that ya. The law has been there judgement has been done.”