Kes Tular Nafi Langgar Lampu Isyarat Merah Disiasat

KOTA KINABALU: Polis daerah ini telah menjalankan siasatan untuk mengenal pasti situasi sebenar insiden pemandu kenderaan pacuan empat roda yang menafikan melakukan kesalahan melanggar lampu isyarat di Batu 5, Jalan Lintas Kolombong yang tular dalam media sosial sejak semalam.

Dalam kejadian kira-kira 10 pagi pada 15 Januari lalu, pemandu pacuan empat roda tersebut ditahan oleh anggota Bahagian Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kota Kinabalu atas kesalahan melanggar lampu isyarat.

Bagaimanapun, pemandu berkenaan menafikan melakukan kesalahan tersebut dan mengeluarkan kenyataan dalam laman Facebook bahawa dia dikenakan tindakan saman atas kesalahan ‘Jalan semasa lampu merah’ dan turut menunjukkan bukti melalui rakaman ‘dash cam’ kenderaannya.

Ketua Polis Daerah Kota Kinabalu, Asisten Komisioner Mohd Zaidi Abdullah berkata, siasatan teliti daripada pelbagai sudut telah dijalankan untuk mengetahui situasi sebenar.

Maka, semua anggota yang terlibat dalam operasi pematuhan undang-undang dan peraturan-peraturan lalu lintas telah diambil keterangan. Pemilik akaun Facebook turut dipanggil bagi memberi keterangan.

Rakaman ‘dash cam’ daripada kenderaan dan rakaman kamera litar tertutup (CCTV) di lampu isyarat di lokasi kejadian yang diperolehi daripada Jabatan Kerja Raya (JKR) turut diteliti.

Sehubungan itu, Mohd Zaidi menasihatkan orang ramai agar tidak mengeluarkan kenyataan atau komen yang menggusarkan dan boleh menimbulkan persepsi negatif terhadap mana-mana pihak serta boleh menjejaskan siasatan polis.

Jelasny, polis sedang menjalankan siasatan yang terperinci ke atas mana-mana pihak yang melanggar undang-undang mahupun peraturan serta prosedur operasi tetap pasukan Polis Diraja Malaysia (PDRM).

Ends.