Kes Thalassemia Tinggi Di Sook Membimbangkan – Adrian Lasimbang

742
Lasimbang menderma darah.

SOOK: Sabah mempunyai bilangan pesakit Thalassemia yang tinggi terutamanya di bahagian Pedalaman. Bilangan kes Thalassemia di kawasan Sook antara yang tertinggi di Sabah

Trend ini amat membimbangkan kerana ia memberi bebanan yang berat kepada keluarga pengidap penyakit ini.

Kebimbangan ini dinyatakan oleh Adrian Lasimbang, Penyelaras DAP Sook-Pensiangan ketika mengikuti program “Bah Mari Derma Darah” yang dianjurkan oleh Persatuan Thalassemia Sabah bersama DAPSY Pensiangan bertempat di Gereja Roh Kudus Sook.

Menurut Adrian, semasa mengadakan ‘walkabout’ sekitar kawasan Sook, didapati ramai yang menghidap Thalassemia.

“DAP Pensiangan juga telah menemui banyak kes melalui ibu bapa yang mempunyai anak yang mengidap sakit ini datang berjumpa dengan kami untuk memohon bantuan kerana menanggung beban kos perubatan dan perbelanjaan yang tinggi kerana terpaksa ulang alik ke hospital untuk menjalankan transfusi darah,” kata beliau.

Kadangkala mereka juga berdepan dengan masalah kekurangan bekalan darah di tabung darah di Hospital Keningau.

Apa yang menyedihkan kebanyakkan kes membabitkan keluarga yang berpendapatan rendah dan kurang mampu. Ini sudah tentu memberikan beban yang tinggi untuk mereka.

Pihak DAP cuba membantu apa yang terdaya, menyedari hakikat ini pihak kami cuba membantu dengan mengajurkan program derma darah ini

Kerajaan patut mengambil langkah proaktif dengan memberikan lebih banyak kempen kesedaran berkenaan Thalassemia termasuklah memberikan pemeriksaan darah percuma kepada pasangan yang baru berkahwin untuk memastikan mereka bukan pembawa ginetik penyebab Thalassemia.

Ia boleh dielakkan dengan saringan darah dan perancangan keluarga jestru mengurangkan kes baru di Sabah.

Dalam keadaan ekonomi yang gawat dengan kos beban hidup yang amat terasa, malang sekali bagi keluarga pesakit kerana terpaksa berulang alik dari kampung ke hospital.

Keperluan darah untuk transfusi kepada pesakit juga amat terhad. Atas kesedaran ini, DAPSY Pensiangan telah menyokong penuh program Kempen Derma Darah di Sook.

DAP mendesak supaya kerajaan mewujudkan satu tabung kebajikan khas untuk membantu keluarga berpendapatan rendah untuk membiayai kos ulang alik bagi pengidap penyakit ini mendapat rawatan di hospital atau mewujudkan satu unit bergerak khas untuk menjalankan transfusi darah di Klinik desa berdekatan bagi mereka yang jauh dari Hospital.