Kes Positif COVID-19 Sabah Mula Tunjuk Trend Penurunan

KOTA KINABALU: Kes positif Covid-19 di Sabah menunjukkan trend penurunan dengan jumlah kes yang terendah dicatatkan hari ini iaitu 1,255 kes dan 19 kes kematian.

Secara keseluruhan, pola penurunan kes di Negeri Sabah seiring dengan bilangan daerah yang merekodkan penurunan dengan statistik 18 daerah mencatatkan penurunan, lapan (8) daerah mencatatkan peningkatan kes dan satu (1) daerah iaitu Sipitang, kekal dengan catatan seperti semalam.

Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan,Datuk Seri Panglima Masidi Manjun berkata, terdapat satu kluster baharu hari ini iaitu kluster tempat kerja iaitu kluster Sawit M1 di Kinabatangan.

Kes indeks membabitkan kerani wanita berusia 25 tahun yang disahkan positif pada 11 Sept dan daripada 112 orang kontak rapat yang menjalani ujian Covid-19, 37 orang lagi disahkan positif.

Secara keseluruhan, sebanyak 38 kes positif dikesan daripada kluster ini. Siasatan, persampelan Covid-19 dan disinfeksi masih diteruskan di lapangan untuk menilai sebarang jangkitan dan risiko kemungkinan jangkitan lebih meluas kepada pekerja ladang berdekatan yang lain.

Katanya, hari ini Kota Kinabalu mencatatkan kes tertinggi dengan 176 kes, Beluran 95 kes, Sandakan 86 kes, Tuaran 81 kes, Kinabatangan 81 kes dan Kota Belud 74 kes.

Daripada 1,255 kes yang didaftar hari ini, 598 kes merupakan kes daftar lewat antara dua hingga melebihi lima hari.

Masidi berkata, saringan kontak rapat kekal penyumbang utama keseluruhan kes di Sabah hari ini dengan 602 kes atau 48 peratus manakala, saringan bergejala 357 kes, 86 kes daripada saringan kluster, 81 kes saringan bersasar dan 129 kes saringan lain-lain.

Sementara itu, Kampung Garib, Matunggong, Kudat dikenakan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) bermula 22 Sept hingga 5 Okt.