Kes Positif COVID-19 di Kota Belud Naik Mendadak

KOTA KINABALU: Setelah mencatatkan penurunan kes beberapa hari lalu, kes positif Covid-19 di Sabah kembali meningkat kepada 695 kes hari ini.

Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan, Datuk Seri Panglima Masidi Manjun berkata, berlaku peningkatan sebanyak 198 kes berbanding kelmarin.

“Walaupun trend ‘yo-yo’ ini sudah diramal lebih awal, tetapi jumlah peningkatan hari ini adalah agak tinggi.

“Faktor yang mempengaruhi peningkatan tersebut ialah pertambahan kes baharu yang agak tinggi di beberapa daerah seperti Kota Belud, Beaufort dan Kudat.

“Peningkatan kes positif di Kota Belud amat tinggi berbanding  daerah-daerah lain, dengan 123 kes dilaporkan.

“Ia juga daerah tunggal yang mencatatkan kes tiga angka. Dapat diperhatikan 91 daripada 123 kes di Kota Belud merupakan kes yang didaftar lewat dua hari atau lebih setelah keputusan saringan diketahui,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Masidi berkata, daripada 695 kes yang dicatatkan hari ini, 448 kes atau 64.46 peratus adalah kes yang berlaku dalam tempoh 24 jam yang lalu dan selebihnya adalah kes daftar lewat dua hari atau lebih lama setelah keputusan saringan diketahui.

Katanya, daripada keseluruhan kes yang direkodkan hari ini, 96.12 peratus adalah kes-kes dalam Kategori 1 dan 2, yang lazimnya hanya memerlukan rawatan di rumah atau di Pusat Kuarantin dan Rawatan Covid-19 (PKRC).

Seiring dengan itu, Masidi menggesa rakyat di negeri ini untuk terus mematuhi prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan kerana fakor yang mempengaruhi perubahan angka setiap hari adalah sikap masyarakat sendiri.