Kes Pertama Covid-19 Di Pitas Libatkan Bayi 8 Bulan

CHRISTINA RUNDI

Oleh SURAIDAH ROSLAN
KOTA KINABALU: Kes pertama Covid-19 yang dilaporkan di Pitas semalam melibatkan bayi berumur lapan bulan.

Kes ini telah mendapat rawatan di Hospital Pitas dan kemudian dipindahkan ke Hospital Kota Marudu sebelum dirujuk ke Hospital Wanita dan Kanak-Kanak Sabah di Likas untuk rawatan lanjut.

Pengarah Kesihatan Negeri Sabah, Datuk Dr Christina Rundi berkata, kes ini dikesan positif oleh HWKKS semasa menjalani ujian saringan pra-pembedahan.

Sementara kes baharu Covid-19 yang dilaporkan di Kota Kinabalu melibatkan lelaki dewasa yang dikesan melalui aktiviti saringan bersasar. Kes ini telah dimasukkan ke wad Hospital Queen Elizabeth untuk rawatan.

Christina berkata, kes ini dikesan semasa Pejabat Kesihatan Kawasan Kota Kinabalu menjalankan aktiviti saringan tuberculosis atau tibi dan Covid-19.

Kedua-dua kes baharu ini merupakan kes jangkitan tempatan dan punca jangkitan masih dalam siasatan.

“Untuk makluman, siasatan ke atas semua jangkitan setakat ini menunjukkan jangkitan Covid-19 masih menular dalam masyarakat setempat.

“Hampir kesemua kes jangkitan tempatan yang dikesan tidak menunjukkan sebarang gejala dan ini menyukarkan pengesanan kes kerana mereka tidak akan tampil ke klinik kesihatan. Kesemua kes dikesan sama ada dalam kalangan kontak atau melalui aktiviti saringan bersasar dalam komuniti atau pra-pembedahan di hospital,” katanya dalam satu kenyataan, di sini semalam.

Dengan itu, beliau menasihatkan orang ramai supaya tidak leka dan terus mengamalkan norma-norma baharu lebih-lebih lagi apabila Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dilonggarkan.

Setakat semalam, sebanyak 355 kes Covid-19 dilaporkan di Sabah dengan 12 kes aktif dan 338 kes telah pulih sepenuhnya. Kes kematian kekal dengan lima kes.

Sehingga kini, bilangan ujian sampel Covid-19 yang dilakukan di Sabah adalah sebanyak 99,289.