Kes Pergaduhan Pelajar Sekolah Di Sandakan, 22 Ditahan

SANDAKAN: Polis menahan 21 pelajar dan seorang bekas pelajar yang disyaki terlibat dalam kes pergaduhan melibatkan sekumpulan pelajar sekolah menengah, di sini petang semalam yang tular di media sosial.

Ketua Polis Daerah Sandakan, ACP Abdul Fuad Abdul Malek berkata pelajar berkenaan berusia antara 14 hingga 18 tahun dari tiga sekolah berasingan di daerah ini.

Penahanan dibuat oleh Bahagian Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Daerah Sandakan, hari ini (25 Mei 2022).

Abdul Fuad berkata siasatan awal polis mendapati pergaduhan berpunca salah faham antara pelajar berkenaan.

“Pihak polis akan melengkapkan kertas siasatan untuk dimajukan ke Pejabat Peguam Negara bagi mendapatkan arahan selanjutnya,” katanya dalam satu kenyataan media hari ini.

Kes berkenaan disiasat mengikut Seksyen 147 Kanun Keseksaan.

Semalam, satu video berdurasi 21 saat tular di media sosial yang memaparkan
sekumpulan pelajar bergaduh dipercayai selepas berakhirnya waktu persekolahan sambil cuba dileraikan beberapa orang dewasa.

BERITA BERKAITAN :- 

Polis Siasat Kes Pergaduhan Sekumpulan Pelajar Sekolah Di Sandakan