Kes Mahkamah LGE Tidak Jejas DAP Sabah

Oleh ARDYHANSAH AMAT
TAWAU: Kes rasuah membabitkan bekas Menteri Kewangan yang juga Setiausaha Agung DAP, Lim Guan Eng dijangka tidak mempengaruhi DAP Sabah dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) akan datang.

Pengerusi DAP Sabah, Datuk Frankie Poon Ming Fung berkata, pengundi hari ini pastinya dapat membezakan antara isu pentadbiran negeri dengan peringkat Kerajaan Pusat.

“Apatah lagi kes yang masih dalam perbicaraan itu tiada kaitan dengan penduduk di negeri ini.

“Justeru, semuanya terpulang kepada rakyat Sabah untuk menentukan pilihan mereka,” katanya dalam sidang media selepas menyampaikan Program Penyerahan Bantuan Kepada Ibu Tunggal Daerah Tawau anjuran Jabatan Hal Ehwal Wanita Sabah (JHEWA), di sini, hari ini.

Turut hadir Pengerusi JHEWA Masturah Jamrah dan Presiden Majlis Perbandaran Tawau (MPT) Datuk Amrullah Kamal.

Tambah Frankie, di pihak lawan pula, masih mempunyai isu dalaman khususnya berhubung calon Ketua Menteri sekiranya memenangi PRN.

“Setiap parti mendakwa layak menjawat jawatan Ketua Menteri, berbanding Warisan PH Plus yang dilihat konsisten meletakkan Datuk Seri Mohd Shafie Apdal sebagai calon tunggal.

“Dari situ, orang ramai boleh menilai betapa rapuhnya pihak lawan dalam mentadbir negeri kerana berpotensi berlaku perebutan jawatan,” katanya.

Tambah Frankie, pihaknya tidak meragui Mohd Shafie dalam bidang pentadbiran kerana berpengalaman luas di peringkat nasional.

“Malah beliau dilihat cukup prihatin dengan masalah rakyat Sabah.

“Misalnya, kita menjadi negeri pertama mengambil langkah drastik menutup laluan keluar masuk negeri semasa fasa awal Covid-19,” katanya.

Ia membuktikan bahawa Mohd Shafie lebih mengutamakan keselamatan rakyat Sabah berbanding ekonomi negeri.

Menurut Frankie, Mohd Shafie kemudian memberi pelbagai bentuk bantuan Covid-19 kepada penduduk bagi mengurangkan beban mereka yang terjejas.

Sementara itu, Frankie berkata DAP Sabah bersedia menghadapi PRN akan datang.

“Setakat ini, belum dimuktamadkan berapa kerusi untuk DAP, namun, berdasarkan kajian dilakukan, kami yakin mampu memenangi lebih banyak kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN),” katanya.

Terdahulu, Frankie menyampaikan bantuan berbentuk beras, pelitup muka dan wang kepada 34 ibu tunggal sekitar daerah Tawau.