Kes Kemalangan Eksesais TUDM Terpencil

KOTA BELUD: Kes kemalangan yang berlaku semasa latihan eksesais Angkatan Tentera Malaysia (ATM) sangat terpencil.

Bagaimanapun, usaha masih dilakukan bagi memastikan kejadian kemalangan semasa demonstrasi latihan dapat diminimakan.

Panglima ATM, Jeneral Tan Sri Affendi Buang berkata, kemalangan yang berlaku ketika eksesais pada masa ini amat terpencil dan jarang berlaku.

Biarpun ada kemalangan yang berlaku, ia berada di luar kawalan mereka. Namun, jika boleh ATM akan memastikan kemalangan semasa eksesais dapat diminimakan.

“Apabila sesuatu latihan dilakukan memang kita melakukannya seperti perang sebenar jadi, risiko itu memang tinggi,” katanya.

Beliau berkata demikian semasa sidang media selepas program penutupan Eksesais Ababil 2021, di Lapang Sasar Udara (Lasarud), di sini hari ini.

Pada 29 Ogos lalu, seorang anggota tentera ditemukan lemas selepas terlibat dalam latihan eksesais Para Predator di Bera Pahang.

Malah, pada 4 September 2019, Allahyarham Mejar Zahir Armaya meninggal dunia semasa latihan demonstrasi keupayaan Tentera Darat di Kem Lok Kawi, Kota Kinabalu.

Mengenai aset ketenteraan, Affendi berkata, ATM akan sentiasa menaik taraf teknologi dan menyelenggara aset-aset ketenteraan secara berkala termasuk aset TUDM seperti pesawat pejuang. Ini bagi memastikan setiap aset ketenteraan dalam keadaan yang baik yang bersedia apabila diperlukan.

“Biarpun pesawat kita sudah berumur namun, kita mahu memastikan ia boleh digunakan secara efektif.

“Kita tidak mahu aset-aset kita tidak boleh digunakan sekiranya berlaku sebarang ancaman terhadap pertahanan negara,” ujarnya.

Menurutnya, aset yang digunakan dalam demonstrasi latihan TUDM ini kebanyakan diperoleh pada 90-an tapi, tidak semestinya aset yang ada ini usang kerana penyelenggaraan sentiasa dilakukan dan sistem persenjataan sentiasa ditambah baik.

“Kita mahu sesebuah pesawat itu efektif apabila digunakan dan kos penyelenggaraan juga rendah.

“Malah, aset yang digunakan pasukan Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) hari ini semuanya aset terkini,” jelasnya.