Kes Jenayah Di Labuan Menurun

173

LABUAN: Program Polis Bersama Komuniti berjaya mengurangkan kadar jenayah di Wilayah Persekutuan Labuan tahun lepas berbanding pada 2018, kata Ketua Polis Labuan Supt Muhamad Farid Ahmad hari ini.

Beliau berkata, 252 kes jenayah dilaporkan tahun lepas di pulau bebas cukai itu berbanding 266 pada 2018, menyaksikan penurunan 5.3 peratus.

Daripada jumlah itu, 232 adalah kes curi manakala baki 20 lagi membabitkan jenayah keganasan. Turut direkodkan enam kes rogol dan tiga kes rompakan berkumpulan tanpa senjata.

“Kami akan tingkatkan program komuniti bertujuan mengeratkan hubungan dengan masyarakat dan bersama-sama berusaha membendung jenayah,” katanya.

Menurut Muhammad Farid, 45.96 peratus daripada kes berkenaan telah dihadapkan ke mahkamah, mengatasi sasaran 35 peratus Indeks Prestasi Utama (KPI).

Beliau berkata 23 warga Filipina, tiga warga Indonesia dan seorang warga India adalah antara 553 orang yang ditahan di Labuan tahun lepas atas beberapa kesalahan, termasuk tiada dokumen perjalanan sah atau tinggal melebihi tempoh ditetapkan.

Mengulas kes berkaitan dadah, Muhamad Farid berkata 100 daripada 184 orang yang ditahan adalah penagih dadah.