Kes Jatuh Jambatan Gantung: Kerjasama Semua Pihak Perlu Atasi Vandalisme

MASIUNG BANAH – Gambar Facebook

KOTA KINABALU: Orang ramai diseru turut berperanan menjaga setiap kemudahan asas yang disediakan kerajaan dan melaporkan kepada pihak berkuasa jika melihat perbuatan vandalisme berlaku.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kuamut, Datuk Masiung Banah berkata, kejadian seorang murid prasekolah maut akibat terjatuh dari jambatan gantung yang rosak amat menyedihkan tetapi sepatutnya boleh dielakkan.

“Saya berada sedih dan ucap takziah kepada keluarga mangsa. Pemimpin kampung seperti Majlis Pengurusan Komuniti Kampung (MPKK), ibu bapa serta pemimpin belia perlu bekerjasama menjaga kemudahan asas yang disediakan kerajaan.

“Kerajaan melalui ADUN dan pejabat daerah telah berusaha menunaikan tanggungjawabnya untuk memberikan kemudahan di kampung ini tetapi ada segelintir masyarakat yang tidak menghargai, malah sampai hati merosakkan kemudahan-kemudahan disediakan sehingga orang yang tidak bersalah menjadi mangsa dan pemimpin pula dipersalahkan,” katanya ketika dihubungi Borneo Today hari ini.

Kelmarin, seorang kanak-kanak perempuan mati lemas selepas terjatuh dari sebuah jambatan gantung yang rosak di kampung Porotawoi, Tongod.

Kejadian berlaku semasa mangsa, Angelliena Juilan, 6, yang baru pulang dari kelas prasekolahnya, menggunakan jambatan itu untuk menyeberang sungai di Kampung Porotawoi, namun terjatuh semasa melalui celah lubang di jambatan berkenaan.

Kejadian berkenaan mengejutkan masyarakat sehingga menimbulkan pelbagai reaksi dan kemarahan yang diluahka di media sosial.

Hasil pemeriksaan Pejabat Daerah Tongod mendapati jambatan gantung yang diselenggara tahun lalu itu berada dalam keadaan baik.

Bagainamapun terdapat lubang di lantai jambatan selepas papan digunakan sengaja dibuka oleh individu tertentu dipercayai untuk tujuan memancing.

Menurut Masiung, ibu bapa juga perlu bertanggungjawab tentang keselamatan anak-anak mereka terutama yang masih kanak-kanak dan memerlukan penjagaan rapi.

“Murid ini baru prasekolah. Sebaiknya ibu bapa perlu bertanggungjawab menghantar dan mengambil mereka dari sekolah,” katanya.

BERITA BERKAITAN :-

Murid Prasekolah Di Tongod Lemas Selepas Jatuh Dari Jambatan Gantung